
Laporan/foto: Vikkneswaran/Mohd Eliasak
BUTTERWORTH, 25 Ogos (MalaysiaAktif) – Suasana penuh meriah dengan semangat kebangsaan jelas terasa apabila Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Peringkat Parlimen Bagan berlangsung dengan jayanya, di sini semalam.
Majlis pelepasan konvoi disempurnakan Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng yang turut mengajak masyarakat untuk terus menghargai nikmat kemerdekaan dan mengekalkan perpaduan.

Ucapan perasmian oleh Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng.
“Sambutan kemerdekaan bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang, lebih penting ia harus menjadi medan untuk memperkukuh nilai perpaduan, saling hormat-menghormati dan tanggungjawab bersama dalam membina masa depan negara.
“Konvoi ini menjadi wadah menyatukan masyarakat pelbagai kaum di Bagan, dan inilah roh kemerdekaan yang perlu kita pupuk bersama,” katanya ketika berucap.
Konvoi yang disertai pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan penduduk serta komuniti setempat itu melibatkan lebih 30 kenderaan berhias Jalur Gemilang yang mengelilingi kawasan Parlimen Bagan sambil menerima sorakan dan sokongan masyarakat sepanjang laluan.

Pertandingan Mewarna Kemerdekaan turut diadakan.
Perjalanan konvoi bermula di Pusat Khidmat Parlimen Bagan, melalui Sekolah Rendah Kebangsaan Sungai Puyu, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Mak Mandin, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hwa 2 sebelum berakhir di Dewan Komuniti Residensi Butterworth.
Pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan antaranya pertandingan mewarna kanak-kanak, persembahan kebudayaan, Jualan Rahmah MADANI serta pengedaran Jalur Gemilang kepada orang ramai.
Turut hadir Senator Dewan Negara Dr. Lingeswaran, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam Kumaran Krishnan, ADUN Bagan Luar Chee Yeeh Keen serta ketua-ketua jabatan daerah Seberang Perai Utara (SPU).
-RI





