
Laporan/foto: Nur Rezwane/Eliasak
KEPALA BATAS, 25 Ogos (MalaysiaAktif) – Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) anjuran Komuniti MADANI Air Melintas Besar berlangsung penuh warna-warni dan semangat patriotik, sekali gus menggelorakan sambutan Bulan Kebangsaan, semalam.
Program berkenaan berjaya menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan belia, penduduk setempat serta wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang perjalanan konvoi.

Ahmad Darus (tengah) bersama-sama Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai Zainudin Mohamad (tiga dari kiri) serta pasukan dari Pejabat Penerangan Daerah Seberang Perai Utara.
Konvoi dimulakan dengan acara pelepasan kenderaan yang dihiasi Jalur Gemilang, sambil bergema laungan “Merdeka!” serta nyanyian lagu-lagu patriotik oleh para peserta.
Sepanjang laluan, konvoi turut singgah di beberapa lokasi tumpuan sekitar Air Melintas Besar termasuk Mydin Bertam, Bertam Putra, Air Melintas Kecil dan Kampung Tok Bedu bagi mengagihkan Jalur Gemilang kepada orang ramai sebagai tanda kebersamaan dan kecintaan kepada negara.
Menurut ketua konvoi merangkap Ketua Komuniti MADANI Air Melintas Besar Datuk Ahmad Darus, penganjuran program itu bukan sekadar perarakan kenderaan malah membawa mesej untuk memupuk semangat perpaduan serta mendidik generasi muda mengenai pentingnya menghargai kemerdekaan.

Si cilik yang turut sama bersemangat menyertai konvoi.
“Konvoi ini mencerminkan perpaduan masyarakat setempat yang berbilang kaum dan agama, yang bersama-sama mengangkat semangat Merdeka, ia juga adalah simbol kekuatan komuniti apabila bersatu hati di bawah panji Jalur Gemilang,” katanya kepada MalaysiaAktif.
Program diakhiri dengan majlis santai komuniti yang diserikan dengan cabutan bertuah dan jamuan rakyat, sekali gus melambangkan keharmonian serta semangat kekeluargaan masyarakat di Air Melintas Besar.
-RI





