
Laporan/ foto : Nordin Yahya (SARAWAK)
LAWAS, 26 OGOS (MalaysiaAktif) – Penubuhan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Lawas yang bernilai kira-kira RM45 juta penting bagi melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang teknologi dan kejuruteraan, selaras dengan matlamat menjadikan Sarawak maju menjelang 2030.

Premier Sarawak menandatangani plak perasmian CENTEXS Lawas.
Pusat tersebut dilengkapi dengan kemudahan moden untuk latihan teknikal berkualiti seperti latihan krew penyelenggaraan industri minyak dan gas, latihan perkhidmatan elektrik, latihan teknologi fesyen, latihan hospitaliti dan pelancongan, membuka peluang kepada anak tempatan mendapatkan pendidikan kemahiran yang diiktiraf.
Kursus jangka pendek seperti Program Jangkauan Teknologi Komuniti dan Program Jangkauan Teknologi Industri juga ditawarkan di CENTEXS Lawas.
remier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata CENTEXS diwujudkan di Lawas adalah sebagai antara usaha kerajaan negeri memperluaskan akses pendidikan dan latihan kemahiran kepada belia luar bandar.
“Sehubungan itu, saya juga menggesa belia tempatan agar merebut peluang yang disediakan demi masa depan yang lebih cerah kerana inisiatif ini mencerminkan komitmen kerajaan terhadap pembangunan pendidikan yang inklusif dan seimbang di seluruh Sarawak,” katanya ketika merasmikan CENTEXS Lawas, di sini, semalam.

Awangku Kifni menyatakan sokongan CENTEXS diwujudkan di Lawas.
Sementara itu, Awangku Kifni, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia menyokong kewujudan CENTEXS di situ dan berharap pembangunan kawasan utara Sarawak terutamanya Lawas akan semakin berkembang maju.
“Golongan muda perlu mengambil kesempatan dan merebut peluang pembelajaran yang disediakan oleh CENTEXS bagi mendapatkan peluang pekerjaan pada zaman yang semakin menuju ke arah kemajuan,” ujarnya ketika ditemui semasa bertugas di majlis tersebut.
-RJ-





