
Laporan/foto: Aidil Azhar/Hasmah Hanafi (Bandar Baharu)
BANDAR BAHARU, 29 Ogos (MalaysiaAktif) – Program Jualan Agro MADANI Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) merupakan satu inisiatif berterusan kerajaan dalam usaha meringankan beban kos sara hidup rakyat.

Lokman (kanan) menyifatkan program ini merupakan satu inisiatif berterusan kerajaan dalam usaha meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Pengurus PPK Bandar Baharu Lokman Hakim Mohamed Zain berkata Jualan Agro MADANI adalah penjenamaan semula daripada program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) dan Jualan Agro RAHMAH.
“Ia dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi menambah baik rantaian bekalan agromakanan dan memastikan rakyat memperoleh barangan asas pada harga lebih murah daripada pasaran,” katanya, di sini kelmarin.
Penganjuran program berkenaan menarik kehadiran ramai penduduk setempat sejak ia dibuka pada pukul 9 pagi.
Harga istimewa ditawarkan seperti bawang kecil RM1 untuk sebungkus, selain ayam, ikan, sayuran segar serta beras yang dijual dengan potongan harga sehingga 30 peratus.

Asrul Nizam (kiri) tidak melepaskan peluang untuk berbelanja barangan keperluan harian kerana murah dan harga berpatutan.
Seorang pengunjung, Asrul Nizam Abu Bakar, 41, berkata program berkenaan benar-benar membantu isi rumah.
“Kalau boleh, saya berharap jualan Agro MADANI ini diadakan sekurang-kurangnya dua kali sebulan. Memang sangat menjimatkan dan banyak membantu keluarga berpendapatan sederhana serta B40,” katanya sambil membawa pulang barangan dapur penuh dua bakul.
Program itu memberi kelegaan kepada rakyat yang berdepan cabaran kos sara hidup sejajar hasrat kerajaan melalui agenda Ekonomi MADANI dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
-RI





