Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Perarakan Basikal Berhias Tanam Semangat Kibar Jalur Gemilang Generasi Muda

By 1 September 2025September 3rd, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Andi Abdul Rohim/Muhammad Irsyad Abd Majid (Manjung)

PANTAI REMIS, 1 Sep (MalaysiaAktif) – Suasana di Kampung Semangat, Segari di sini bertukar meriah apabila lebih 150 peserta bersama dengan 20 buah basikal berhias bertemakan kemerdekaan mengelilingi kampung sambil mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025.

Perarakan yang disambut kelmarin itu bukan sahaja menceriakan sambutan Hari Kebangsaan, malah menjadi simbol kecintaan masyarakat terhadap tanah air tercinta.

Penduduk setempat yang hadir turut menyanyikan lagu patriotik dengan penuh rasa bangga.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Persatuan Penduduk Kampung Semangat Segari Perak (PPKSSP) Safiee Salleh, program ini diadakan untuk menyemai semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda serta mengeratkan perpaduan penduduk.

“Penerangan mengenai tatacara pemasangan bendera dan maksud warna pada Jalur Gemilang dapat membantu kanak-kanak serta penduduk memahami makna sebenar bendera kebangsaan kita,” jelasnya.

Tambahnya, inisiatif menghias rumah kediaman dengan Jalur Gemilang turut menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan ke-68 di kampung tersebut.

Sementara itu, Ketua Komuniti MADANI Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Remis Eddy Mansor menegaskan penganjuran aktiviti sebegitu mengukuhkan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak serta memberi ruang untuk meluangkan masa bersama melalui aktiviti berfaedah berunsurkan semangat cinta akan negara.

Peserta yang menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan ke-68 Kampung Semangat.

“Kemerdekaan bukan sekadar sambutan, tetapi warisan yang mesti dipelihara dengan semangat perpaduan dan keharmonian antara kaum. Semangat patriotik ini wajar dipupuk sejak kecil agar terus subur sepanjang hayat,” katanya.

Selain perarakan basikal berhias, pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan termasuk senamrobik, pertandingan hiasan basikal, pertukaran hadiah antara penduduk kampung, serta taklimat berkaitan sejarah kemerdekaan.

-RI

Tinggalkan komen anda