Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

16 Remaja Ditahan dalam Op Khas Basikal Lajak

By 1 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal/IPD Johor Bahru Selatan (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 1 Sep (MalaysiaAktif) – Seramai 16 remaja ditahan dalam Op Khas Basikal Lajak di sekitar Bandaraya Johor Bahru oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Daerah Johor Bahru Selatan, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Supt. Azrul Hisham Mohd Shaffei, berkata operasi oleh seorang pegawai dan tujuh anggota polis itu telah menahan sekumpulan remaja yang sedang menunggang basikal di sekitar Bandaraya Johor Bahru.

Kesemua 16 remaja telah dibawa ke Ibupejabat Daerah Johor Bahru Selatan untuk diambil keterangan dan akan diserahkan semula kepada ibu bapa dan penjaga masing-masing.

“Remaja yang ditahan ini berumur dalam lingkungan 11 hingga 15 tahun bersama basikal yang disita dibawah Seksyen 112(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Menurutnya, sebanyak 16 saman telah dikeluarkan oleh polis atas beberapa kesalahan antaranya basikal tanpa brek, tiada loceng dan basikal tiada lampu merah belakang.

“Banyak kesalahan yang dilakukan dan kita telah menghubungi ibu bapa dan penjaga ke IPD Johor Bahru Selatan untuk diambil keterangan dan dinasihatkan bahawa tindakan tegas akan diambil jika kesalahan berulang mengikut Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan denda sehingga RM20,000 dan penjara tidak lebih dari lima tahun.

“Polis menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar memantau aktiviti anak-anak di bawah umur jagaan supaya tidak terlibat dengan gejala yang boleh mendatangkan bahaya dan melanggar undang-undang jalan raya yang hanya akan membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda