Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Ceramah Keselamatan Bomba Tingkat Kesedaran Komuniti

By 2 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Iswandi Kassim/ Stanley Clarence Eddie (Sarawak)

SRI AMAN, 2 Sep (MalaysiaAktif) – Ceramah keselamatan anjuran Pejabat Penerangan Daerah Sri Aman dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bahagian Sri Aman berjaya meningkatkan kesedaran masyarakat setempat mengenai aspek pencegahan kebakaran dan pengurusan kecemasan.

Pegawai Bomba Kanan I Mosihi Buang berkata program itu memberi penekanan kepada pengenalan bahaya kebakaran, tatacara penggunaan alat pemadam api yang betul, teknik “berhenti, rebah dan guling” serta kaedah pengungsian bangunan ketika kecemasan.

“Pendedahan ini penting bagi memastikan komuniti lebih peka termasuk mampu bertindak dengan betul dalam situasi sebenar dan selain ceramah, tayangan montaj turut diadakan bagi memberi gambaran realistik kepada peserta,” katanya ketika menyampaikan ceramah pada Program Jiwa@Komuniti MADANI sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di Dewan Seri Lemanak, di sini, Ahad lepas.

Mosihi menyampaikan ceramah keselamatan kepada peserta.

Beberapa langkah yang ditekankan termasuk aspek pendidikan dan latihan, penguatkuasaan, penyelenggaraan serta amalan pengurusan rumah yang baik.

“Setiap kali taklimat keselamatan diadakan, ia berfungsi mengingatkan semula panduan serta teknik yang mungkin telah dilupakan oleh peserta yang pernah menghadiri program terdahulu,” tambahnya.

Menurut Mosihi lagi, JBPM sentiasa menjalin kerjasama erat dengan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dalam menganjurkan ceramah dan demonstrasi keselamatan, khususnya di kawasan luar bandar selain menekankan kepentingan peranan komuniti dan ketua masyarakat dalam memastikan langkah pencegahan kebakaran dipraktikkan.

JBPM yakin melalui program sebegini, kesedaran masyarakat terhadap keselamatan kebakaran akan terus meningkat sekali gus dapat menghadkan risiko kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa.

Mahra Salleh (empat kanan) bersama anggota bomba setelah selesai sesi ceramah.

Kira-kira 100 penduduk setempat termasuk ahli daripada tiga Komuniti MADANI kawasan Dewangan Undangan Negeri (DUN) Lingga menyertai program tersebut.

Turut hadir Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh, Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman Safariza Bujang, Pengerusi Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Wanita Bahagian Dayang Azilah Mohd Salleh, Temenggong Mohd Shah Acang dan Pemanca Abang Norin Abang Norudi.

-RJ-

Tinggalkan komen anda