
Laporan/foto: Rahman Ishak (Putrajaya)/BERNAMA
PUTRAJAYA, 4 Sep (MalaysiaAktif) – Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil memuji persembahan dan kreativiti peserta-peserta Pertandingan Akhir Pengisahan Kenegaraan@Kelab Malaysiaku Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung pagi tadi.
“Saya terkesan dengan persembahan yang terakhir tadi sebab kesan darah itu masih ada. Ini membuktikan bahawa kreativiti anak-anak, para pelajar, guru-guru ini seharusnya menjadi inspirasi untuk kita semua,” katanya.
Fahmi berkata demikian ketika merasmikan pertandingan tersebut di Dewan Serbaguna, Kompleks Komunikasi, di sini hari ini.
Kumpulan The Last Rebel dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kunak Jaya, Sabah muncul sebagai johan pertandingan dengan tajuk pengkisahan ‘Namamu Kekal Dalam Sejarah’, manakala Sekolah Seni Malaysia dari Sarawak meraih gelaran Naib Johan dan tempat ketiga milik Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Maung dari Pulau Pinang.
Pengisahan Kenegaraan@Kelab Malaysiaku anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) bertujuan membentuk jati diri dan semangat patriotik dalam kalangan pelajar selain mendidik mereka menghargai sejarah tanah air, perjuangan tokoh kemerdekaan, serta menghayati nilai kenegaraan dan perpaduan melalui penceritaan kreatif dan persembahan lakonan.
“Bulan Kebangsaan ini adalah bulan di mana kita bukan hanya menyambut Hari Kebangsaan, Hari Merdeka dan juga Hari Malaysia, tapi ia juga merupakan peluang untuk kita menceritakan sejarah perjuangan di negeri masing-masing supaya ia memberi kita satu semangat untuk terus menabur bakti.
“Dan terutama untuk anak-anak, para pelajar, tidak ada kehilangan kisah penceritaan supaya kita juga tetap berbangga dengan sejarah kita,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi turut meminta JAPEN meniliti kebolehlaksanaan program tersebut di peringkat Komuniti MADANI.
“Saya harap bagi tahun depan kita akan bukan hanya dapat teruskan tapi rancakkan lagi, terutama pada Bulan kebangsaan.
“Dan saya juga telah minta supaya Jabatan Penerangan meneliti sama ada kita boleh laksanakan program seumpama ini bukan di peringkat sekolah tapi di peringkat Komuniti MADANI,” katanya.
-RI





