
Laporan/foto: Faizal Nazmi/BERNAMA (Putrajaya)
PUTRAJAYA, 4 Sep (MalaysiaAktif) – Berjuang di pentas akhir Pengisahan Kenegaraan @ Kelab Malaysiaku dalam kesedihan yang memuncak selepas menerima perkhabaran pemergian ibu saudara tercinta pagi tadi adalah suatu pengalaman terhebat buat Abdul Aqil Uqail.
Lebih dikenali sebagai Aqil, pelajar berusia 16 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kunak Jaya, Sabah itu bagaimanapun berhasil menampilkan persembahan terbaik, berkat dokongan dan sokongan dua lagi rakan sekumpulannya, dan guru penyelaras Rahmatia Saode.
“Bila dapat tahu makcik meninggal Subuh tadi, saya memang rasa sedih dan kecewa. Tapi, mujur ada Kak Baya (Siti Nurbayah Abdul Rahman) dan Arief (Mohamad Arief Addiny Ambo Resi) yang kuatkan semangat saya.

Abdul Aqil Uqail (kanan) dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kunak Jaya, Sabah tetap memberikan aksi terbaik meskipun dikhabarkan pemergian ibu saudara sebelum pementasan bermula.
Jadi, saya pun ingatkan diri saya bahawa semua ini (manusia) tidak kekal. Saya beritahu diri saya untuk tidak simpan (kesedihan) ini lama-lama, kerana kami akan jumpa lagi di syurga, insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas kumpulannya The Last Rebel dinobatkan sebagai pemenang pertandingan akhir program tersebut, di Menara Komunikasi, di sini hari ini.
Terdahulu, kumpulan itu memukau barisan juri menerusi pengisahan bertajuk ‘Namamu Kekal Dalam Sejarah’ yang berkisarkan perjuangan pahlawan Sabah, Mat Salleh atau Datu Paduka Mohammad Salleh Datu Balu yang memimpin gerakan menentang penjajahan British di negeri tersebut, pada akhir abad ke-19.
Sabah hari ini berentap dengan lima lagi finalis iaitu dari negeri Sarawak yang muncul sebagai Naib Johan dan Pulau Pinang di tempat ketiga, selain Perak, Johor dan Negeri Sembilan.
Siti Nurbayah pula berkata kemenangan tersebut merupakan hadiah buat guru penyelaras dan sekolah meskipun berdepan kekangan masa latihan.
“Alhamdulillah, perjalanan jauh dari Sabah akhirnya berbaloi. Kami ingin meraikan kemenangan sebenar yang sebelum ini belum pernah kami kecapi,” katanya.

Kumpulan The Last Rebel yang mewakili Sabah muncul johan Pertandingan Akhir Pengisahan Kenegaraan @ Kelab Malaysiaku.
Beliau bagaimanapun mengakui persembahannya kurang beremosi pada babak syair, namun bersyukur kerana rakan sepasukan berjaya menampung kelemahan itu dan tetap menampilkan persembahan terbaik.
Sementara itu, Rahmatia menyifatkan kemenangan itu sebagai bukti bakat pelajarnya yang berupaya mengangkat aspirasi kenegaraan melalui pentas dengan penuh penghayatan.
Menurutnya, latihan yang dijalankan tidaklah terlalu banyak kerana pelajarnya itu sememangnya sudah berbakat, malah pernah meraih tempat ketiga dalam pertandingan Sketsa Kenegaraan dua tahun lalu.
“Latihan yang kami lakukan hanya sebagai penambah baik, kerana mereka memang mempunyai bakat semula jadi. Kali ini mereka berjaya menyampaikan kisah perjuangan Mat Salleh dalam menentang penjajahan British di Sabah dengan sangat berkesan,” katanya.
Beliau menambah, kemenangan itu amat berbaloi hasil usaha bersama pelajar, kerjasama pihak sekolah serta sokongan padu daripada pemimpin setempat dan komuniti daerah.
-FN-





