
Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/JAPEN
BALING, 7 Sep (MalaysiaAktif) – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kejayaan negara bukan sahaja diukur melalui pertumbuhan ekonomi, tetapi bagaimana hasil kemajuan itu dapat diagih secara adil untuk kesejahteraan rakyat, khususnya golongan miskin dan terpinggir.
“Dalam kerajaan MADANI kita teruskan beri tumpuan dan perhatian dalam soal pembangunan wilayah dan desa… dan dari segi bantuan langsung kepada rakyat,” katanya.

Ketibaan Perdana Menteri di Dewan Tunku Abdul Rahman semalam.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Penutupan Program MADANI Rakyat 2025 di Dewan Tunku Abdul Rahman, di sini semalam.
Menurut Perdana Menteri, Baling mempunyai sejarah penting dalam memperjuangkan nasib rakyat, termasuk peristiwa 1974 yang membangkitkan isu kemiskinan luar bandar.
Katanya, kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan wilayah dan desa selain menyalurkan bantuan langsung kepada rakyat melalui inisiatif seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Anwar turut menegaskan komitmen kerajaan membanteras kartel yang selama ini menekan harga barangan asas bagi memastikan rakyat menikmati harga yang adil dan bantuan kerajaan dapat disalurkan dengan lebih berkesan.

Sumbangan kepada Persekutuan Penanam-Penanam Padi Kedah.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri dalam merencana pembangunan, termasuk projek tebatan banjir, peningkatan hasil pertanian serta usaha mengekalkan Kedah sebagai jelapang padi negara.
Selain itu, beliau turut menegaskan kepentingan keselamatan negara dan kestabilan serantau, yang menurutnya berjaya diperkukuh melalui kerjasama semua pihak termasuk polis dan angkatan tentera.
Situasi itu katanya sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.
Mengakhiri ucapannya, Anwar menyeru seluruh rakyat agar mendukung agenda Malaysia MADANI dengan mengekalkan nilai amanah, keikhlasan dan akhlak mulia sebagai teras kepimpinan.
“Ujian kita adalah ketika memegang kuasa, gunakanlah ia untuk membela rakyat sebaik mungkin,” katanya.
-RI





