
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/Jackson
RAWANG, 9 Sep (MalaysiaAktif) – Penduduk Bandar Country Homes (BCH), di sini boleh menarik nafas lega apabila masalah paip pecah yang sering menghantui mereka bakal berakhir apabila kerja penggantian paip lama oleh Syarikat Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) bermula 5 Ogos lepas.

Chua Wei Kiat, pegawai Air Selangor ketika turun padang meninjau projek penggantian paip lama di BCH hari ini.
Kerja-kerja penggantian paip lama di kawasan itu membabitkan Fasa 3, 4, 12 dan 13 dengan jarak 6.5 kilometer melibatkan kos RM14.5 juta.
Projek itu bermula selepas selesai proses mendapatkan permit daripada Konsortium Usaha Selangor (KUSEL) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan dijangka selesai pada Jun 2026.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang Chua Wei Kiat berkata usaha tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri yang serius menyelesaikan isu paip lama di Selangor.

Kelihatan kontraktor Air Selangor sedang giat menjalankan kerja-kerja penggantian paip lama di BCH.
“Tahun ini sahaja, Air Selangor akan menggantikan 300 kilometer paip lama.
“BCH antara kawasan paling terjejas kerana sering berdepan masalah paip pecah sehingga mengganggu bekalan air,” katanya ketika ditemui hari ini.
Menurutnya, kawasan itu dipilih berikutan aduan tinggi penduduk, manakala Air Selangor akan mengeluarkan notis awal penutupan jalan dan gangguan air sepanjang projek penggantian itu.
-RI






