
Laporan/ foto : Iswandi Kassim/ Misi Nyamok (Sarawak)
SRI AMAN, 9 Sep (MalaysiaAktif) – Perpaduan masyarakat berbilang kaum di Malaysia perlu terus diperkukuhkan sebagai asas utama menjamin keamanan, kestabilan dan kemakmuran negara.
Penolong Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman Jessica Gilbert Bunsu berkata memelihara keharmonian bukan tugas mudah, malah memerlukan kesabaran, kebijaksanaan dan komitmen berterusan semua pihak dengan menjadikan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara sebagai panduan hidup bermasyarakat.
“Bagai menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak, itulah perumpamaan betapa sukarnya memelihara perpaduan di negara ini di mana usaha menyantuni semua kaum, agama dan etnik harus dilaksanakan secara teliti dengan semangat saling menghormati,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program JIWA@Komuniti MADANI sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 Komuniti MADANI Entulang di Rumah Edward Anak Hoi, Entulang, di sini, hari ini.

Jessica menyampaikan ucapan di Rumah Edward.
Jessica berkata media sosial kini menjadi cabaran terbesar dalam membina perpaduan, kerana wujud pihak yang menyebarkan maklumat palsu serta memainkan sentimen kaum dan agama untuk mengeruhkan hubungan masyarakat.
“Isu perkauman ini ibarat bom jangka yang boleh meletup bila-bila masa.
“Justeru, kita harus bijak menapis maklumat serta tidak mudah terpengaruh dengan hasutan yang boleh menggugat keharmonian negara,” jelas Jessica lagi.
Beliau menambah, pendidikan awal yang menekankan nilai kepelbagaian kaum dan budaya, termasuk melalui Tadika Perpaduan, wajar diperluas bagi memupuk rasa hormat dan penerimaan dalam kalangan generasi muda.

Simbolik penyerahan Bendera Ibu Pertiwiku kepada Komuniti MADANI Entulang.
Menyentuh konsep Kemakmuran Bersama 2030, Jessica berkata pembangunan negara mesti berjalan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, inklusif dan merentasi kaum, kelas serta geografi.
“Rakyat yang bersatu tanpa prasangka dan meraikan kepelbagaian bangsa serta budaya adalah asas kepada penyatuan negara dan kita juga harus melihat kepelbagaian itu sebagai kekuatan, bukannya kelemahan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menyeru komuniti setempat untuk memperkukuh semangat kejiranan melalui rukun tetangga dan pertubuhan komuniti agar dapat menjadi platform interaksi sihat demi mengekalkan keharmonian.
Turut diadakan pada majlis itu ialah Lafaz Ikrar Rukun Negara, nyanyian lagu patriotik dan pengedaran Jalur Gemilang bersama Bendera Ibu Pertiwiku kepada Ketua Masyarakat dan Ketua Komuniti (KMKK) serta masyarakat setempat.
-RJ-





