
Laporan/foto: Awangku Marzuki Ag Latip (Tawau)
TAWAU, 10 Sep (MalaysiaAktif) –Masyarakat tanpa mengira latar belakang bangsa dan usia perlu sentiasa berganding bahu dalam menyemai semangat patriotik agar keharmonian yang wujud sekarang ini terus terpelihara.

Azuary turut menyampaikan taklimat kemerdekaan bagi menyemai semangat patriotik.
Program Jiwa Komuniti Madani antaranya wajar dijadikan sebagai salah satu usaha murni untuk memekarkan semula semangat patriotisme dan kebersamaan antara penduduk terlibat menerusi aktiviti bertunjangkan semangat cinta akan negara.
Pegawai Penerangan Daerah Tawau, Azuary Abdul Azis berkata, program itu diadakan bagi menyedarkan masyarakat akan pentingnya menghargai jasa dan pengorbanan generasi terdahulu melalui taklimat kenegaraan.
“Kemerdekaan bukan sekadar perayaan tahunan, tetapi warisan besar yang perlu dipelihara dengan penuh rasa syukur. Semangat perpaduan dan kesetiaan kepada tanah air mesti terus dipupuk agar generasi muda memahami erti kebebasan yang dikecapi hari ini.

Anak-anak tadika menyanyikan lagu Jalur Gemilang yang menceriakan suasana program tersebut.
“Dikesempatan ini saya mengajak masyarakat setempat, khususnya generasi muda, untuk menjadikan Jalur Gemilang dan prinsip Rukun Negara sebagai panduan dalam mengekalkan keharmonian negara. Nilai patriotisme mesti disemai sejak kecil agar anak-anak kita membesar dengan rasa cinta dan tanggungjawab terhadap tanah air,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di Tabika KEMAS Kongsi 10 di sini pada Rabu.
Program itu turut diserikan dengan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak Tabika KEMAS, bacaan ikrar Rukun Negara, penyerahan Jalur Gemilang kepada wakil komuniti serta sumbangan bakul makanan kepada golongan asnaf.
Hadir sama ialah Penolong Pegawai Pendidikan Awal Kanak-kanak, Sopianah Awang serta Pengerusi Komuniti Madani Kg. Jawa Kongsi 10, Nazri Aikram Douglas.
-RJ-






