Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Kelas Pendidikan Literasi Fungsian KEMAS Bantu Golongan Tercicir Pendidikan Kuasai 3M

By 11 September 2025September 12th, 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Lydia Humphery Tungka/Lance Dunstan (Sarawak)

SERIAN, 11 Sep (MalaysiaAktif) – Kemerdekaan sejati bukan sekadar bebas daripada cengkaman penjajah, tetapi juga membebaskan minda dan jiwa melalui cahaya ilmu dan usaha murni ini diterjemahkan melalui program Kelas Pendidikan Literasi Fungsian anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang membuka peluang pendidikan kepada mereka yang tercicir di daerah luar bandar seperti di Serian, Sarawak.

Lucia Leonard Lalat menerima hadiah pertandingan mewarna daripada Ahli Parlimen Serian Richard Riot.

Menurut Pegawai KEMAS Daerah Serian Sawai Akin, 49,  ketika ditemui semalam di Kampung Tema Penggal, program Kelas Pendidikan Literasi Fungsian dkhaskan untuk penduduk luar bandar yang tercicir dalam pendidikan formal.

“Di bawah pemantauan pejabat kami, seramai 51 orang peserta dari dua kampung telah dikenal pasti, iaitu 21 orang dari Kampung Tema Penggal dan 30 orang dari Kampung Tema Mawang. Mereka terdiri daripada individu berumur antara 30 hingga 60 tahun yang dipilih berdasarkan permintaan ketua kampung serta hasil kajian yang menunjukkan wujudnya golongan sasaran yang masih buta huruf.

“Untuk makluman, Kelas Pendidikan Literasi Fungsian anjuran KEMAS ini terbuka kepada orang dewasa berumur antara 15 hingga 65 tahun,” kata Sawai.

Kelas selama dua tahun yang disediakan untuk golongan tersebut bukan sahaja bertujuan membantu mereka menguasai kemahiran asas seperti membaca, menulis dan mengira (3M), malah turut memberi pendedahan kepada mereka untuk menjana pendapatan melalui program kemahiran hidup seperti membuat rempeyek, menganyam tikar plastik dan menghasilkan kuih kering, mengikut kelas masing-masing.

Salah seorang peserta kelas yang juga merupakan seorang suri rumah, Serena Anding, 51, berkongsi pengalamannya sebagai pelajar tahun kedua dalam program tersebut. Menurutnya, sejak mengikuti kelas tersebut, beliau kini mampu menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M), hasil bimbingan tenaga pengajar yang sabar dan berdedikasi.

“Keseronokan untuk belajar hadir secara semula jadi setelah saya mampu membaca, menulis dan mengira. Tambahan pula, tenaga pengajar kami, Siti Nor Azmina Abduraya, sangat bersabar dalam memberi tunjuk ajar kepada kami,” katanya.

Serena (tengah) bersama rakannya ketika ditemui selepas pertandingan mewarna di Kampung Tema Penggal.

Serena (tengah) dirakam bersama rakan-rakannya ketika ditemui selepas pertandingan mewarna yang diadakan di Kampung Tema Penggal baru-baru ini.

Dalam pada itu, Serena turut menyeru golongan muda agar tidak mensia-siakan peluang untuk menimba ilmu pengetahuan, memandangkan pendidikan adalah proses sepanjang hayat.

“Saya sendiri tidak berpeluang ke sekolah dahulu disebabkan kekangan dan kesempitan hidup. Kini, apabila saya sedar betapa pentingnya pendidikan, saya berharap generasi muda akan menggenggam peluang yang ada demi masa depan mereka.

“Sempena bulan kebangsaan ini, marilah kita memerdekakan diri dengan ilmu pengetahuan agar tidak terus ketinggalan. Hanya dengan pendidikan kita dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan orang lain,” tambahnya lagi.

Sehubungan itu, kelas seperti ini amat penting dan wajar dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan sasar khususnya di luar bandar, agar mereka tidak terus terpinggir daripada arus kemajuan, termasuk dalam aspek kemahiran digital dan akses kepada maklumat berguna melalui media sosial.

-RJ-

Tinggalkan komen anda