Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Rezeki Bulan Kebangsaan: Peniaga Raih Pendapatan Lima Angka

By 11 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norshazila Ahmad (Selangor)

SHAH ALAM, 10 Sep (MalaysiaAktif) – Kreativiti menghasilkan pakaian kanak-kanak berkonsepkan tema patriotik membuahkan hasil kepada seorang peniaga butik di Shah Alam apabila mampu meraih pendapatan mencecah lima angka.

Farhana (kiri) sedang melayan salah seorang pelanggan yang membeli pakaian tema kemerdekaan untuk anaknya.

Bercakap kepada MalaysiaAktif, Nur Farhana Mohd Azhar, 40, pemilik Koleksi Dina Nis berkata bulan kebangsaan bukan sekadar sambutan, sebaliknya peluang keemasan untuknya mengembangkan perniagaannya.

Butik yang telah beroperasi selama tiga dekad itu asalnya dikenali dengan jualan baju kurung, baju Melayu dan pakaian uniform sekolah, namun sejak tiga tahun lalu, Farhana mula memberi fokus kepada koleksi pakaian kanak-kanak berkonsepkan tema kemerdekaan.

“Setiap tahun kami kaji trend bulan kebangsaan, biasanya ada dua gelombang, iaitu Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di mana sekarang ini, gelombang kedua iaitu Hari Malaysia sedang rancak berjalan,” katanya yang menyifatkan strategi tersebut berjaya melonjakkan permintaan pelanggan, khususnya di Shah Alam.

Antara tarikan utama koleksi Dina Nis ialah baju Melayu, baju kurung, kurung moden, dan peplum mini untuk kanak-kanak berusia tiga hingga 12 tahun dan rekaan pakaian yang dihasilkan bukan sahaja sesuai dipakai sempena sambutan Hari Kebangsaan, malah boleh digayakan semula pada Aidilfitri.

Seorang kanak-kanak sedang memperagakan baju bertemakan Hari Kebangsaan dan ibunya turut berpuas hati dengan rekaan Koleksi Dina Nis di Kompleks PKNS Shah Alam.

“Biasanya ibu bapa akan membeli pakaian yang boleh dipakai semula supaya yang tidak membazir.

“Harga yang kami tawarkan juga sangat berpatutan antara RM50 hingga RM150,” katanya, di sini semalam.

Selain pakaian, Farhana turut menghasilkan aksesori seperti tanjak Merdeka yang dijual serendah RM 25, sampin, tudung, cekak, gandik yang bertemakan bulan kebangsaan.

“Alhamdulillah, murah rezeki kami di bulan Ogos dan September ini, selain musim raya, bulan kebangsaan juga menjadi fokus utama kami untuk menjana pendapatan,” katanya.

Bagi Farhana, kejayaan meraih pendapatan sehingga lima angka bukan sekadar keuntungan semata-mata, sebaliknya memberi peluang kepada kanak-kanak merasai nikmat meraikan bulan kebangsaan dengan penuh semangat patriotik.

-RI

Tinggalkan komen anda