
Laporan/foto: Memi Yusoff/Hazel (Selangor)
SHAH ALAM, 11 Sep (MalaysiaAktif) – Sebanyak 107 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah mengambil bahagian dalam Karnival Kempen Internet Selamat (KIS), di sini hari ini.

Teo mengunjungi reruai pameran interaktif.
KIS merupakan anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan sokongan serta kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Persatuan Guru Besar Tamil Malaysia.
Menurut Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, KIS telah dilancarkan pada Januari tahun ini dan merupakan satu inisiatif Kementerian Komunikasi melalui MCMC untuk masuk ke sekolah sama ada di sekolah rendah, sekolah menengah atau institut pengajian tinggi bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai pentingnya perlindungan diri di alam maya, mengenal pasti risiko siber serta menggalakkan penggunaan internet secara bijak, selamat dan bertanggungjawab.
“Untuk rekod setakat 1 September lepas, sebanyak 1928 sekolah telah mengikut modul KIS di seluruh negara dengan 144 sekolah adalah dari Selangor dan 76 dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, daripada jumlah berkenaan 11 sekolah melibatkan SJKT dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC)” ujar beliau semasa sidang media Karnival Kempen Internet Selamat di Shah Alam Convention Center.

Peserta yang hadir turut mengibarkan Jalur Gemilang.
Pelbagai aktiviti menarik turut memeriahkan karnival, termasuk persembahan koir KIS oleh pelajar-pelajar sekolah terlibat, persembahan kebudayaan sempena Hari Malaysia serta pameran interaktif daripada rakan strategik MCMC seperti Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Selangor.
Bagi mengukuhkan pemahaman peserta, pelbagai permainan interaktif juga disediakan sepanjang karnival ini berlangsung yang berteraskan digital dan keselamatan siber.
-RI





