
Laporan / foto : Kesai Andi/ Sophia Aren Erik/ Mohammad Nazeri Arif (Sarawak)
TATAU, 12 Sep (MalaysiaAktif) – Program Malaysia Run bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 Peringkat Daerah Tatau berlangsung meriah di perkarangan Pejabat Penerangan Daerah Tatau, semalam.
Acara anjuran Pejabat Penerangan Daerah Tatau itu bermula seawal 6.30 pagi dan telah menarik penyertaan seramai 150 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk komuniti MADANI setempat serta kakitangan agensi kerajaan.
Ahli Parlimen Selangau Edwin Banta dalam ucapan perasmiannya menyeru masyarakat Tatau terus mengamalkan gaya hidup sihat dan menjadikan program seumpama itu sebagai landasan mempererat hubungan komuniti.

Edwin Banta berucap merasmikan Malaysia Run sempena Program JIWA@Komuniti MADANI Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Peringkat Daerah Tatau.
“Penglibatan masyarakat dalam aktiviti riadah seperti ini bukan sahaja meningkatkan tahap kesihatan fizikal dan mental, malah turut memperkukuh perpaduan serta menyemai semangat cintakan negara,” katanya.
Mengulas tema sambutan HKHM tahun ini iaitu Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni, beliau menekankan bahawa aspek kebajikan, kasih sayang sesama insan, dan perpaduan merupakan asas penting dalam membina masyarakat yang sejahtera.
Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Tatau, Donny Minggu Ling menjelaskan penganjuran Malaysia Run bukan sekadar aktiviti riadah, malah menjadi medium untuk memupuk semangat patriotisme serta mempererat hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Peserta Malaysia Run terdiri daripada ahli Komuniti MADANI dan masyarakat setempat bersama Edwin merakam foto berkumpulan.
Sebagai tanda sokongan terhadap program tersebut, Edwin turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM1,000 untuk menyokong penganjuran serta menggalakkan penglibatan aktif masyarakat, khususnya golongan belia, dalam aktiviti komuniti yang sihat dan bermanfaat.
Turut hadir ke program tersebut ialah Asisten Superintenden Kisam Wa mewakili Ketua Polis Daerah Tatau, Pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah Tatau Zulkipli Moh, serta Pemanca Gerosen Jubin.
-RJ-






