
Laporan/Fotografi: Iswandi Kassim & Stanley Clarence (Sarawak)
SRI AMAN, 12 Sep (MalaysiaAktif) – Pembentukan jati diri sebagai rakyat merdeka perlu dipupuk sejak di bangku sekolah bagi melahirkan generasi muda yang menghargai perjuangan, mempertahankan kedaulatan, serta menyambung kesinambungan kemajuan negara.
Jati diri merujuk kepada akar diri, maruah, dan nilai yang membentuk individu sebagai sebahagian daripada bangsa yang merdeka dan berdaulat.
Usaha membina jati diri memerlukan penghayatan terhadap empat syarat utama, iaitu bersyukur, berilmu, memanfaatkan teknologi secara bijak, dan istiqamah dalam usaha membangunkan bangsa.

Abdul Rahman merasmikan program Pentarama X Kelab MalaysiaKu di SMK Melugu.
Menurut Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman, Abdul Rahman Muhyiddin, ilmu merupakan asas kebangkitan sesuatu bangsa, manakala teknologi moden perlu dimanfaatkan sebagai pemudah cara untuk meningkatkan produktiviti dan pengetahuan – bukan sebagai alat yang melalaikan.
“Kemajuan tidak dicapai dalam sekelip mata. Oleh itu, semua pihak perlu istiqamah, berdisiplin, bersungguh-sungguh dan konsisten dalam memacu pembangunan bangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Pentarama X Kelab MalaysiaKu anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) yang berlangsung di Dewan Seri Begunan, Sekolah Menengah Kerajaan (SMK) Melugu, semalam.

Abdul Rahman menyampaikan hadiah kepada pemenang Kuiz Kenegaraan.
Program berkenaan melibatkan penyertaan kira-kira 350 pelajar, yang mengikuti pelbagai sesi termasuk Taklimat Demokrasi Berpelembagaan dan Undi 18 oleh Guru Penyelaras Kelab MalaysiaKu SMK Melugu, Vivien Ngala Padang dan sayembara sajak oleh pelajar.
Turut diadakan ialah taklimat Kempen Internet Selamat oleh pegawai dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan persembahan hiburan bermaklumat oleh artis Pentarama yang turut diselang-selikan dengan kuiz kenegaraan.
Turut hadir Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman, Safariza Bujang; Pengetua SMK Melugu, Martheno Anthony Elo; Ketua Cawangan Pentarama JAPEN, Mohd Azuel Abdullah, serta guru-guru kokurikulum sekolah.
-RJ-





