
Laporan/foto: Muhammad Zayed Barak/Harman Mohammad Khalid
KUALA LUMPUR, 18 Sep (MalaysiaAktif) – Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) @ Komuniti MADANI Setapak Jaya bersempena Hari Kebangsaan, Hari Malaysia 2025 serta sambutan Maulidur Rasul di Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah, Taman Sri Rampai berlangsung meriah, kelmarin.

Pengunjung wanita terutamanya ibu-ibu mengambil bahagian dalam pertandingan congkak.
Program padat dengan pelbagai pengisian bermula seawal 4.30 pagi iaitu Qiamullail Perdana A-Falah pimpinan Ustaz Rozie Rejab diikuti Forum Subuh Khas MADANI yang menampilkan Ustaz Amran Yusoff atau dikenali sebagai Ustaz Amran Bollywood sebagai moderator bersama panel jemputan Norhizam Shair (Ijam Medicine) dan Iwan Shahman.
Selepas sarapan pagi istimewa, acara diteruskan dengan pertandingan memancing di Tasik Sri Rampai serta senaman pagi ringan oleh pasukan Fisioterapi MAIWP (K2S).
Turut hadir Pengerusi Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah, Ustaz Haji Isahak Othaman dan Pengarah Penerangan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya Lt. Kol. Bersekutu (PA) Sabarudin Yeop Hamzah.

Boling kelapa antara sukan rakyat yang dipertandingkan.
Aktiviti komuniti di masjid turut berlangsung meriah dengan pertandingan mewarna, sukan rakyat, e-sukan (PS5), Soopa Doopa dan penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) MAIWP Datuk Mohd Nizam Yahya.
Suasana menjadi lebih bersemangat dengan nyanyian Lagu Jalur Gemilang dan laungan ‘Merdeka!’ sebanyak tiga kali.
Menurut Sabarudin masjid bukan lagi ditakrifkan sebagai tempat ibadah semata-mata.
“Masjid pada zaman ini perlu menjadi medium utama bagi mengeratkan silaturahim antara satu sama lain di dalam usaha mengukuhkan perpaduan masyarakat tidak terhad kepada bangsa Melayu dan agama Islam sahaja,” katanya.
-RI





