Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Silat, Budaya Tradisi Melayu Terus Diperkasa

By 18 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Latifah Salleh/Kartina Saruni (Tangkak)

TANGKAK, 18 Sep (MalaysiaAktif) – Penganjuran kali kedua Kejohanan Silat Kebangsaan Terbuka Tangkak dan Jemputan Antarabangsa 2025 telah menghimpunkan seramai 1,000 pesilat dari seluruh negara dengan aksi bertenaga dan luar biasa dipamerkan peserta seawal usia lapan tahun hingga 35 tahun.

Kejohanan yang berlangsung sejak 14 September lalu di, Tangkak itu melabuhkan tirainya semalam dengan pasukan Sarawak RSS muncul juara keseluruhan apabila meraih 10 pingat emas dan tiga pingat perak.

Pegawai Daerah Tangkak, Ts Mohd Johari Tarmidi menyampaikan ucapan perasmian penutup.

Pegawai Daerah Tangkak Ts Mohd Johari Tarmidi berkata penganjuran kejohanan itu bukan sahaja memperlihatkan keberanian dan semangat juang tinggi para pesilat, malah turut menyerlahkan keindahan seni mempertahankan diri warisan bangsa.

“Martabat seni bela diri silat perlu terus diangkat kerana ia adalah keindahan seni mempertahankan diri warisan bangsa.

“Saya amat kagum melihat semangat dan daya juang para pesilat yang bukan sahaja mengangkat budaya Melayu, malah menyatukan masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis penutup program tersebut di Dewan Al-Khindi, Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Ledang, di sini kelmarin.

Aksi peserta cilik meraih perhatian ramai.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Silat Kebangsaan (PESAKA) Daerah Tangkak Razali Ismail memberi jaminan bahawa pihaknya akan terus menganjurkan kejohanan tersebut pada tahun hadapan dengan penyertaan yang lebih meluas, termasuk dari negara luar.

“Komitmen kami adalah untuk menjadikan kejohanan ini sebagai acara tahunan berprestij yang bukan sahaja mengangkat silat di peringkat kebangsaan, tetapi juga sebagai platform memperkenalkan budaya Melayu di mata dunia,” katanya.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Daerah Tangkak DSP Jamellulkamal Abdul Halim, Pensyarah Kanan KKTM Ledang Maria Salleh dan Setiausaha Majlis Sukan Daerah Tangkak Izzuddin Azman.

-FN

Tinggalkan komen anda