Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Bank Rakyat, SRBJ Perkasa Sekolah Digital di Johor

By 23 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Facebook Aznan Tamin (Johor)

JOHOR BAHRU, 23 Sep (MalaysiaAktif) – Inisiatif Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) terus diperkasa melalui kerjasama strategik dengan Bank Rakyat dalam pelaksanaan Program Cashless Digital School.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pendidikan negeri Aznan Tamin, berkata usaha tersebut menjadi pemangkin inspirasi dalam memperkukuh pendidikan berasaskan teknologi digital seiring kehendak semasa.

“Melalui program ini, SMK (Sekolah Menengah Kebangsaan) Tasek Utara dan SMK Kota Puteri 2 akan melaksanakan sistem pembayaran tanpa tunai bagi sebarang pembelian di kantin serta koperasi sekolah.

“Langkah ini bukan sahaja memberi kemudahan kepada pelajar, malah mendidik mereka tentang kepentingan penggunaan teknologi kewangan secara berhemah dan selamat,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program tersebut di SMK Tasek Utara, di sini hari ini.

Tambahnya, SRBJ di Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Utara dan SK Kota Puteri 4 pula akan melaksanakan sepenuhnya sistem QR Attendance bagi merekod kehadiran serta prestasi murid.

“Pendekatan ini akan membantu pihak sekolah dan ibu bapa memantau perkembangan anak-anak dengan lebih cekap dan telus,” jelasnya.

Dalam program berkenaan, turut berlangsung penyerahan sumbangan zakat berbentuk cek replika bernilai RM15,000 oleh Bank Rakyat yang memanfaatkan seramai 400 murid daripada empat buah SRBJ.

Aznan, berkata kerjasama erat antara kerajaan negeri Johor, Bank Rakyat, pihak sekolah serta komuniti pendidikan perlu dimanfaatkan demi memastikan generasi muda bersedia menjadi generasi digital yang berdaya saing dan berilmu, sekali gus memperluaskan inisiatif tersebut di lebih banyak sekolah di negeri Johor.

-RI

Tinggalkan komen anda