Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Program JIWA@Kelab Malaysiaku Bina Keyakinan Diri Pelajar SMK Medamit

By 24 September 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Juliani Bolhi/ Mohd Taluka Arsad (Sarawak)

LIMBANG, 24 Sep (MalaysiaAktif) – Program JIWA@Kelab Malaysiaku yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Medamit di sini, hari ini berjaya mencuri tumpuan pelajar dengan pengisian yang bermanfaat, selain memberi impak positif dalam membentuk sahsiah generasi muda.

Penyelaras Kelab Malaysiaku Jole Jale@Jabu menyampaikan ceramah Pengucapan Awam kepada ahli-ahli Kelab Malaysiaku SMK Medamit Limbang.

Program anjuran bersama SMK Limbang dan Pejabat Penerangan Daerah Limbang itu menjadi platform penting untuk pelajar memahami dasar-dasar kerajaan termasuk meningkatkan kemahiran insaniah seperti pengucapan awam, komunikasi berkesan dan keyakinan diri.

Sesi ceramah berkaitan pengucapan awam dan taklimat Kempen Internet Selamat yang dikendalikan kakitangan Pejabat Penerangan Daerah Limbang bertujuan melatih pelajar agar berani tampil ke hadapan, menyampaikan pandangan dengan yakin dan memupuk semangat kepimpinan dalam kalangan generasi muda.

Pengisian seperti ini bukan sahaja membantu pelajar untuk bersedia menghadapi cabaran masa hadapan malah membentuk mereka sebagai warganegara yang berani bersuara secara bijaksana.

Linda Lau menyampaikan ucapan kepada ahli-ahli Kelab Malaysiaku.

Pengetua SMK Medamit Linda Liau dalam ucapannya berkata inisiatif seumpama ini amat dialu-alukan kerana turut menyokong pembelajaran merentas kurikulum sebagaimana digariskan dalam silibus pendidikan.
“Program JIWA@Kelab Malaysiaku bukan sekadar aktiviti kokurikulum tetapi wadah penting untuk generasi muda memahami dan menghayati peranan mereka dalam pembangunan negara,” katanya.

Linda menambah, setiap dasar yang dilaksanakan kerajaan, sama ada berkaitan pendidikan, ekonomi dan perpaduan memberi impak besar kepada kehidupan rakyat.

“Kita juga dapat melihat bagaimana bahawa dasar pendidikan negara memastikan setiap pelajar mendapat akses kepada pendidikan berkualiti manakala dasar ekonomi pula membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Juliani Bolhi menyampaikan taklimat Kempen Internet Selamat kepada para pelajar Kelab Malaysiaku.

“Pada masa sama, dasar perpaduan yang diseiringkan dengan dasar pendidikan berusaha memupuk keharmonian antara kaum, menjadikan Malaysia unik dengan kepelbagaian budaya,” katanya lagi.

Melalui Program JIWA@Kelab Malaysiaku yang dilaksanakan secara berterusan di sekolah-sekolah seluruh negara, pelajar bukan sahaja mampu meningkatkan potensi diri dalam bidang akademik dan kokurikulum, malah turut diasah menjadi warganegara yang celik ilmu, berpengetahuan luas serta bersedia memainkan peranan penting dalam pembangunan negara pada masa hadapan.

Turut hadir Penolong Kanan Pentadbiran Linda Runggah, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (H) Evetle Sagim, Penolong Kanan Kokurikulum Penny Metius dan Guru Penyelaras Kelab Malaysiaku Ruhaiza Amin.

-RJ-

Tinggalkan komen anda