Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Keselamatan Internet Jadi Tumpuan Program Jiwa@Kelab Malaysiaku 2025 Pontian

By 25 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Faizal Mansor/Mazlin Basir (Pontian)

PONTIAN, 25 Sep (MalaysiaAktif) – Kesedaran mengenai keselamatan penggunaan internet dalam kalangan remaja sekolah menjadi fokus utama Program Jiwa@Kelab Malaysiaku 2025 peringkat daerah Pontian.

Aktiviti berkumpulan yang diadakan oleh AADK Daerah Pontian.

Pengurus Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Parit Bilal Rambah Nurintan Mohd Yusoff berkata pendedahan mengenai pengetahuan digital amat penting bagi memastikan golongan itu berwaspada terhadap ancaman siber termasuk penipuan dalam talian, buli siber dan penyebaran maklumat palsu.

“Remaja merupakan golongan paling aktif menggunakan internet, justeru pendedahan awal mengenai keselamatan digital sangat penting supaya mereka lebih bertanggungjawab dan bijak ketika berinteraksi di alam maya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat Kempen Internet Selamat (KIS) bertempat di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Parit Bilal Rambah, di sini semalam.

Beliau turut menegaskan bahawa internet memberi banyak manfaat khususnya dari sudut pembelajaran dan komunikasi, namun tanpa kawalan ia boleh membawa kesan negatif.

Guru-guru dan pelajar-pelajar yang terlibat dengan program Jiwa@Kelab Malaysiaku peringkat daerah Pontian dari SMK Sri Kukup dan SMK Parit Betak Pontian.

“Oleh itu, kita mahu remaja celik digital serta mampu menilai maklumat dengan bijak. Mereka juga perlu tahu cara melindungi data peribadi seperti nombor telefon, alamat rumah dan kata laluan kerana pendedahan tanpa kawalan boleh mengundang bahaya,” jelasnya.

Program dirasmikan Pegawai Penerangan Daerah Pontian Mohd Faizal Mansor dan turut diisi dengan sesi ceramah serta pameran oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Pontian, kuiz kenegaraan dan kuiz interaktif.

Lebih 100 pelajar Kelab Malaysiaku dari lima buah sekolah menengah sekitar daerah Pontian menyertai program itu yang bertujuan memupuk semangat cintakan negara di samping memperkasakan ilmu pengetahuan berkaitan keselamatan maklumat dan media baharu.

-RI

Tinggalkan komen anda