Skip to main content
Berita TengahBerita TempatanSelangor

Selangor Agrofest 2025: PLAS Tawar Lelongan Agro Digital

By 27 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norshazila Ahmad (Selangor)

SHAH ALAM, 27 Sep (MalaysiaAktif) – Konsep lelongan hasil tani secara digital menjadi salah satu tarikan utama di Selangor Agrofest 2025 melalui platform Pusat Lelongan Agro Selangor (PLASBid) yang dibangunkan oleh Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah Selangor).

Menurut Pengurus Besar Kohijrah Selangor Datuk Dr. Mohammad Syukri Ismail, idea PLAS tercetus selepas lawatan kerja Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor Datuk Ir. Izham Hashim ke Jepun pada tahun lalu di mana konsep lelongan ikan yang diamalkan di sana diadaptasi untuk membantu petani dan nelayan tempatan.

Pengurus Kohijrah Selangor, Siti Nor Szillah (kiri) menunjukkan demo bagaimana konsep lelongan dijalankan di Tapak Karnival, Stadium Seksyen 13 Shah Alam.

“PLAS mula beroperasi sejak lapan bulan lalu di Sijangkang, Kuala Langat yang mana, hasil tani seperti ikan, sayur-sayuran, buah-buahan dilelong secara terus kepada pembeli tanpa melalui orang tengah dengan harga harga lebih telus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di reruai Kohijrah Selangor sempena Selangor Agrofest 2025 di Tapak Karnival, Stadium Seksyen 13, di sini kelmarin.

Katanya sistem bidaan dijalankan secara atas talian dengan tempoh bidaan selama satu jam dan Kohijrah kini mempunyai lapan lot jualan untuk disewakan kepada vendor.

“Pembeli hanya perlu membuat bidaan secara atas talian, siapa bida paling tinggi dalam tempoh tersebut akan membawa pulang produk tersebut,” jelasnya.

Kekerapan lelongan pula diadakan empat kali seminggu, dengan promosi awal dilakukan sebelum sesi bidaan bermula.

Antara produk popular yang sering menjadi tumpuan ialah ikan segar, limau bali, kelapa pandan, cempedak, durian, tebu dan sayur-sayuran.

Pelbagai hasil pertanian yang segar dijual dengan harga yang sangat berpatutan di reruai Kohijrah Selangor sempena Selangor Agrofest 2025, di Tapak Karnival, Stadium Seksyen 13 Shah Alam.

“Konsep ini menang-menang yang mana petani dan nelayan dapat menjual hasil mereka dengan harga yang lebih baik tanpa dibuli orang tengah, manakala pembeli pula dapat menikmati harga yang berpatutan dengan kualiti terjamin.

“Buat masa ini penghantaran hanya meliputi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” jelasnya.

Selain lelongan, Pasar Segar PLAS juga dibuka setiap hari di Sijangkang dari 7 pagi hingga 10 malam yang menawarkan jualan hasil tani terus daripada pengeluar.

-RI

Tinggalkan komen anda