
Laporan/foto: Florinah Lunsin/Nadia M. Lawaji (Kudat)
KUDAT, 29 Sep (MalaysiaAktif) – Karnival Usahawan Perusahaan Mikro, Kecik dan Sederhana (PMKS) Sabah 2025 Zon Kudat membuka ruang lebih luas kepada usahawan untuk mempromosi produk selain menjadi platform menjana pendapatan.
Tidak hanya tertumpu kepada usahawan di Kudat, penglibatan peserta PMKS daripada daerah lain antaranya Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu mencerminkan semangat keusahawanan yang tinggi dalam kalangan masyarakat Sabah.
Penganjuran karnival ini juga dilihat mampu mengangkat produk jenama usahawan tempatan di samping memperkenalkan keunikan Sabah kepada masyarakat luar sekali gus menyokong pembangunan ekonomi negeri.
Pengusaha manik dan kristal, Lily George, 65, berkata, penganjuran karnival berkenaan memberi peluang besar kepada usahawan mempertingkatkan ekonomi dan memasarkan produk ke peringkat lebih luas.

Lily pesara kerajaan yang kini giat aktif sebagai usahawan aksesori manik dan kristal turut menyertai Karnival Usahawan PMKS Sabah 2025 Zon Kudat.
“Program seperti ini memberi peluang kepada usahawan dari seluruh Sabah untuk turut serta dan sekaligus mempertingkatkan ekonomi mereka. Saya berharap program ini dapat diteruskan dengan penyertaan yang lebih ramai agar daerah Kudat lebih dikenali di peringkat luar.
“Mudah-mudahan selagi saya masih bertenaga, saya akan terus menyertai program seperti ini demi meningkatkan hasil, kualiti produk serta jaringan sosial,” katanya ketika ditemui pada karnival tersebut di Dataran Tomborungus di sini, pada Ahad.
Sementara itu usahawan kraftangan, Momin Angkap, 58, berpendapat, sebagai penggiat kraftangan etnik tempatan, karnival berkenaan membantu mereka untuk membentuk jaringan pelanggan yang lebih luas.

Momin usahawan kraftangan etnik Sabah, aktif menyertai pelbagai pameran bagi mempromosikan hasil tangan masyarakat tempatan.
“Karnival ini sangat bagus kerana memberi peluang besar kepada usahawan untuk mempromosikan produk mereka kepada umum. Harapan saya agar karnival seperti ini terus dianjurkan dengan lebih banyak penyertaan di masa akan datang,” ujarnya.
Untuk makluman Karnival Usahawan PMKS Sabah 2025 Zon Kudat telah berlangsung pada 26 hingga 28 September 2025 dengan pelbagai program sampingan antaranya pameran usahawan, pertandingan mewarna, pertandingan nyanyian serta peragaan pakaian kreatif.
-RJ-





