
Laporan/foto: Farah Shaherza/Radiah Rahim (Pahang)
KUANTAN, 29 Sep (MalaysiaAktif) – Aktiviti gotong-royong anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kempadang, di sini mengeratkan ukhuwah antara penduduk.

Penglibatan penduduk kampung dapat memupuk nilai kerjasama dan merapatkan ukhuwah sesama insan.
Pengerusi JPKK Saaban Awang berkata aktiviti itu secara dasarnya adalah untuk memastikan kebersihan dan keceriaan pantai.
“Gotong-royong ini adalah semangat masyarakat kita sejak dahulu lagi, dengan adanya program sebegini, kita dapat bersama-sama memupuk nilai kerjasama, tolong-menolong dan meningkatkan ukhuwah antara penduduk,” katanya.

Saaban berharap agar pengunjung Pantai Kempadang sama-sama menjaga kebersihan.
Saaban yang juga Ketua Komuniti MADANI juga berkata penduduk turut mengambil inisiatif mengecat semula papan tanda kampung dan menanam pokok hiasan di sekitar kawasan pantai sempena Hari Sukan Negara peringkat daerah Kuantan yang akan berlangsung pada 11 Oktober nanti.
“Kita akan berkerjasama dalam penganjuran Hari Sukan Negara nanti dan gotong-rotong ini juga diadakan bagi memastikan kebersihan kawasan pantai terpelihara,” katanya.
-RI





