
Laporan/foto: Azree Zaki (Raub)
RAUB, 29 Sep (MalaysiaAktif) – Program Pemerkasaan Syariah dan Akidah (PERSADA) memperkukuhkan kefahaman ajaran Islam yang sebenar dalam kalangan para peserta.
Salah seorang peserta Mohd Shafri Mohd Noh, 59, berkata program seperti itu sangat penting untuk menguatkan asas keagamaan masyarakat, terutama dalam menghadapi pelbagai cabaran ideologi dan fahaman yang boleh memesongkan akidah kini.

Mohd Shafri ketika ditemu bual Malaysia Aktif.
“Saya berharap program seumpama ini dapat diteruskan dengan skala yang lebih besar dan melibatkan lebih banyak golongan termasuk remaja, belia dan warga emas bagi memastikan mesej pemerkasaan syariah dan akidah terus tersebar luas di seluruh daerah Raub,” katanya.
Program anjuran Pejabat Agama Islam Daerah Raub, hari ini bertujuan memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap ajaran Islam yang sebenar di samping menangani isu-isu akidah dan syariah yang semakin mencabar dalam era digital masa kini.
Ceramah bertajuk ‘Kepentingan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Bertunjangkan Al-Quran dan Al-Sunnah’ yang disampaikan oleh Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, Pusat Sains Kemanusiaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) merangkap Panel Pemurniaan Akidah Dan Syariah Lantikan Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (JAIP), Dr. Abdul Kamil Jamaludin, merupakan salah satu pengisian program.
-RI





