Skip to main content
Berita TempatanRencana & PendapatSarawak

Motif Melayu, Iban dan Melanau Bersatu dalam Satu Karya Seni Ukiran Kayu

By 2 Oktober 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Mohd Haffis Seria (Sarawak)

MATU, 2 Okt (MalaysiaAktif) – Warisan seni ukir kayu yang menjadi lambang identiti masyarakat majmuk Sarawak terus dipelihara dan dimartabatkan menerusi sentuhan kreatif seorang pengukir tempatan berbangsa Melanau, Mohd Sauzi Pauzi.

serta peranan aktif sebagai , 44

Walaupun sibuk dengan tugasan hakiki sebagai pekerja am di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Matu, Mohd Sauzi, 44, tetap gigih menyalurkan minat dan kemahiran dalam seni ukiran kayu.

Dengan penuh semangat, beliau menghasilkan karya-karya seni yang bukan sahaja memaparkan kehalusan tangan anak tempatan, tetapi turut mencerminkan keindahan dan keharmonian budaya pelbagai etnik di Sarawak.

Setiap ukiran yang dihasilkan Mohd Sauzi menekankan kehalusan sebagai elemen terpenting dalam pembuatannya.

Ukiran Kayu Gabungan Tiga Budaya

Menurut Mohd Sauzi ketika ditemui baru-baru ini, hasil seni beliau yang kini menjadi kebanggaan ialah binaan ukiran kayu Selamat Datang yang kini menjadi mercu tanda di pintu masuk SK Kuala Matu.

Struktur seni itu amat unik kerana menggunakan 98 peratus Kayu Belian, iaitu kayu keras bernilai tinggi yang tahan lama, selain menggabungkan elemen seni budaya pelbagai kaum di Sarawak.

Struktur berkenaan bukan sahaja indah secara visual, tetapi juga sarat dengan nilai simbolik dan budaya.

Setiap bahagian ukiran membawa makna yang mendalam iaitu motif budaya Mleayu di bahagian atas binaan, elemen budaya Iban di bahagian tengah, manakala bahagian bawah pula menyerlahkan corak budaya Melanau.

Simbol Burung Kenyalang dan Warna Warisan

Setiausaha Komuniti MADANI Kuala Matu itu turut menerangkan bagaimana ukiran kepala Burung Kenyalang turut disertakan sebagai simbolik kepada kesetiaan kepada Sarawak atau Bumi Kenyalang dan mewakili identiti salah satu kelompok etnik utama di sini.

Tambahnya lagi, bagi memberikan kesan visual yang lebih menarik, binaan itu dicat dengan warna kelabu sebagai latar manakala warna emas digunakan untuk menyerlahkan kemegahan dan keceriaan ukiran.

Hasil sentuhan tangan Mohd Sauzi memperlihatkan hiasan dalaman unik dan klasik.

Mohd Sauzi yang mempelajari seni ukir kayu di Tanjung Manis Timber Training Centre (TMTTC) PUSAKA Tanjung Manis pada tahun 2005, tidak hanya menghasilkan ukiran untuk sekolah malah turut menerima pelbagai tempahan ukiran kayu secara sambilan dan antara yang sering mendapat permintaan ialah ukiran nama menggunakan kayu Tunjuk Langit.

“Hasil ukiran separuh masa yang dihasilkan mampu memberikan pendapatan tambahan sekitar RM1,000 setiap bulan dan karya ukiran saya juga pernah dipilih sebagai cenderamata istimewa untuk Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil semasa Lawatan Komuniti MADANI di Daerah Matu pada Februari lepas,” katanya lagi.

Ajak Belia Hargai Warisan

Mohd Sauzi berharap lebih ramai golongan muda akan melibatkan diri dalam bidang seni ukir kayu memandangkan peluang latihan dan kemahiran sudah disediakan di institusi seperti TMTTC.

“Seni ukir kayu bukan sekadar warisan nenek moyang, tetapi juga sumber rezeki yang boleh dikembangkan. Apa yang penting adalah minat, fokus dan kesabaran untuk menguasai kemahiran ini,” katanya.

Selain daripada nilai estetika dan budaya, seni ukiran kayu juga berperanan sebagai medium komunikasi yang menghubungkan generasi kini dengan sejarah dan tradisi masyarakat Sarawak sementelah setiap corak dan motif ukiran mengandungi nilai budaya, cerita serta falsafah yang diwarisi turun-temurun.

Beliau juga percaya bahawa kesinambungan seni ini bergantung kepada kesedaran dan penghargaan masyarakat terhadap kepentingan melestarikan warisan budaya.

Kecekalan dan dedikasi Mohd Sauzi dalam mengekalkan seni ukiran kayu mencerminkan bahawa seni tradisional ini masih relevan, malah mampu menjadi sumber inspirasi dan pendapatan kepada masyarakat masa kini sekiranya terus dihargai dan dimartabatkan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda