Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Projek Jambatan Batang Lupar 2 Capai 70.69 Peratus, Siap Mac 2026

By 6 Oktober 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan /foto : Iswandi Kassim (Sarawak)

SRI AMAN, 6 Okt (MalaysiaAktif) – Projek berimpak tinggi iaitu pembinaan Jambatan Batang Lupar 2 telah mencapai tahap kemajuan fizikal 70.69 peratus dan dijangka siap sepenuhnya 31 Mac 2026.

Projek bernilai RM223.6 juta itu dilihat sebagai pemangkin utama pembangunan ekonomi dan sosial bagi kawasan tengah Sarawak apabila siap kelak.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Menteri Kewangan Kedua dan Ekonomi Baharu II serta Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) berkata, beliau berpuas hati dengan kemajuan semasa projek selepas menerima taklimat daripada pihak kontraktor dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Tiada masalah besar dilaporkan setakat ini, cuma faktor cuaca menjadi cabaran utama dan dari segi bahan binaan, tenaga kerja dan jentera semuanya mencukupi serta berada di tapak,” katanya kepada media selepas melawat projek berkenaan, di sini semalam.

Datuk Amar Douglas Uggah Embas (tengah) mendengar taklimat di pejabat kontraktor pembinaan Jambatan Batang Lupar 2.

Menurut Uggah, lawatan berkala ke tapak projek merupakan sebahagian dasar kerajaan negeri bagi memastikan setiap projek strategik disiapkan mengikut jadual serta memastikan kerjasama erat antara kontraktor, JKR dan agensi pelaksana lain.

“Setiap projek pasti berdepan cabaran tetapi dengan kerjasama semua pihak termasuk kontraktor dan JKR , saya yakin jambatan ini dapat disiapkan seperti dirancang,” ujarnya.

Apabila siap kelak, jambatan tersebut akan menjadi laluan alternatif antara Simanggang dan Betong, memendekkan jarak perjalanan daripada 73 kilometer melalui Lebuhraya Pan Borneo kepada hanya 37 kilometer melalui Second Trunk Road.

Kemudahan itu dijangka mengurangkan masa perjalanan kepada kira-kira 30 minit, selain merangsang pertumbuhan ekonomi di sepanjang koridor Sri Aman–Betong, khususnya dalam sektor pertanian, perdagangan dan pelancongan.

“Projek ini juga akan memberi impak positif kepada operasi STOLport Spaoh, terutamanya dalam mempertingkatkan pengangkutan hasil pertanian dan produk tempatan dari Bahagian Sri Aman dan Betong,” tambah beliau.

Datuk Amar Douglas Uggah Embas (tengah) bersama yang lain ketika meninjau tapak pembinaan rojek pembinaan Jambatan Batang Lupar 2.

Projek yang dilaksanakan oleh Naim Gamuda (NAGA) JV Sdn Bhd itu melibatkan pembinaan jambatan jenis kabel (cable-stayed) sepanjang 2.2 kilometer dengan span utama 870 meter merentasi Sungai Batang Lupar.

Struktur jambatan dua lorong itu direka mengikut piawaian JKR R5, mempunyai ruang navigasi selebar 200 meter dan setinggi 23 meter manakala pylon utama menjulang setinggi 145.5 meter.

Selain jambatan utama, projek turut melibatkan pembinaan jalan akses sepanjang 2.35 kilometer yang dilengkapi sistem saliran, perabot jalan, pengadang keselamatan dan kemudahan sokongan lain.

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Chiew Chee Yau, Timbalan Pengarah JKR Sarawak Ir Wisil Lichok, Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh, Jurutera Bahagian JKR Sri Aman Lenny Busuri dan wakil kontraktor Naim Gamuda (NAGA) JV Sdn Bhd.

-RJ-

Tinggalkan komen anda