
Laporan/foto: Abassalimi Mohamad (Batu Pahat)
BATU PAHAT, 7 Okt (MalaysiaAktif) – Inisiatif Bandar Pintar menjadi agenda penting bagi memperkasakan penggunaan teknologi moden dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

Antara pempamer yang turut serta dalam program kali ini.
Pegawai Daerah Batu Pahat Mohd Farid Kassim berkata program Bandar Pintar bukan sahaja inisiatif yang digerakkan di peringkat daerah, malah turut dilaksanakan di peringkat negeri dan nasional.
“Oleh itu, komitmen semua pihak amat penting bagi memastikan pelaksanaannya selari dengan hasrat dan sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya ketika berucap merasmikan program Bandar Pintar dan Bebas Karbon Batu Pahat.
Majlis anjuran Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) berlangsung dengan jayanya di Dewan Jubli Intan, di sini semalam.
Beliau menambah bahawa bandar pintar berperanan memanfaatkan teknologi, data dan inovasi bagi memperbaiki mutu kehidupan rakyat, meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam serta menggalakkan pembangunan mampan dan inklusif.
“Dalam era teknologi canggih masa kini, penggunaan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence – AI), Internet Pelbagai Benda (Internet of Things – IoT), sistem geoinformasi (Geospatial) serta robotik dapat dimanfaatkan dalam pelbagai urusan seharian,” jelasnya.

Pertandingan baling damak antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) turut diadakan bagi mengeratkan silaturahim.
Dalam pada itu, MPBP memaklumkan pembinaan Pusat Operasi Kawalan Bersepadu Batu Pahat (Batu Pahat Integrated Operation Command Centre – BP IOCC) kini berada di peringkat akhir di Menara MPBP.
Mohd Farid berkata pusat berkenaan bakal menjadi nadi utama kepada operasi bandar pintar yang bersepadu, bagi membantu penyelesaian isu-isu bandar dengan lebih cekap dan sistematik.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang Mohd Yusla Ismail, ADUN Penggaram Gan Peck Cheng, Yang Dipertua MPBP Ezahar Abu Sairan serta Penasihat Bandar Pintar MPBP Nik Ahmad Faizul Abd Mallek.
-RI





