
Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)
PENDANG, 8 Okt (MalaysiaAktif) – Karnival Rancak Hub Industri Makanan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bakal diadakan di daerah Pendang selama tiga hari bermula esok hingga 11 Oktober ini.

Antara program yang bakal menemui orang ramai bermula Khamis ini.
Menurut Pegawai Ehwal Ekonomi MADA Negeri Kedah, Akmal Nizam Abdullah, pelbagai aktiviti menarik disediakan sebagai usaha menggalakkan masyarakat tempatan mendekati sektor agro dan produk tani tempatan.
“Kami turut menyediakan cabutan bertuah bagi pengunjung bertuah sepanjang karnival berlangsung. Warga Pendang serta masyarakat sekitar dijemput hadir bagi memeriahkan program yang menjadi platform mempromosikan produk tempatan dan memperkukuh jaringan usahawan tani di bawah bimbingan MADA,” katanya, di sini semalam.
Karnival anjuran MADA di Hub Industri Makanan MADA, di sini bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam itu dijangka menampilkan pelbagai aktiviti menarik sesuai untuk seisi keluarga termasuk jualan usahawan bimbingan MADA dan Agro Madani, Petting Zoo Soopa Doopa, Pertandingan Mewarna Kanak-kanak, Fun Walk Bersarung serta Pertandingan Karom Terbuka.

Antara perkhidmatan yang akan berada di Hub Industri Makanan MADA pada 9 hingga 11 Oktober ini.
Turut memeriahkan acara ialah Pertandingan Menu Sihat: Cuka Nipah dan Tobiar Gold, pemeriksaan kesihatan percuma serta perkhidmatan servis motosikal percuma oleh GiatMARA.
Pengunjung juga berpeluang menyaksikan demonstrasi pengendalian haiwan berbisa dan pertolongan cemas oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Pendang.
Penganjuran Karnival Rancak Hub Industri Makanan MADA bukan sahaja menjadi medan memperkenalkan pelbagai produk usahawan tempatan, malah memperkukuh ekosistem agroindustri daerah Pendang selaras dengan aspirasi pembangunan ekonomi tani yang mapan di bawah MADA.
-RI





