
Laporan/foto: Azri Zainal Abidin/ Muhamad Hafizuddin Abdul Halim
PUTRAJAYA, 11 Okt (MalaysiaAktif) – Seramai kira-kira 6,200 peserta menyertai acara larian sempena Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2025 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berlangsung di Dataran Putrajaya, Presint 3, hari ini.

Flag off pelepasan acara larian oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa.
Program berkenaan turut disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, yang berkata penganjuran HSN tahun ini bertujuan merealisasikan aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang membudayakan sukan.
“Hari Sukan Negara yang dianjurkan pada hari ini adalah untuk merealisasikan hasrat dan aspirasi menggalakkan rakyat membudayakan sukan seiring dengan kerangka Malaysia MADANI dan Visi Sukan Negara 2030,” katanya ketika ditemui media selepas majlis perasmian.
Beliau turut menyeru rakyat untuk terus mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif selaras dengan tema HSN 2025: #MalaysiaAktif, selain mengekalkan disiplin serta semangat perpaduan dalam setiap aktiviti sukan.
Pelbagai aktiviti riadah turut diadakan sepanjang program berkenaan, antaranya senamrobik, sukan rakyat dan demonstrasi sukan bagi menggalakkan penyertaan pelbagai peringkat umur.
Anitha Rajagopal, 45, memaklumkan dengan bersukan ia dapat memupuk dan menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum.

Anitha Rajagopal, antara peserta yang turut hadir
“Saya datang hari ini bersama anak-anak, jadi kami dapat meluangkan masa beriadah sambil menyokong program yang dianjurkan oleh pihak kerajaan,” ujarnya,
Pesara Kerajaan, Ghazali Taha, 60, pula menyatakan dengan bersukan, beliau dapat mengekalkan kesihatan walaupun diusia emas.
“Sebagai rakyat Malaysia kita perlu meningkatkan kesedaran tentang kepentingan bersukan bagi mewujudkan masyarakat yang cergas dan aktif walaupun sudah berumur,” katanya.
Kakitangan kerajaan, Chang Ana, 40, memaklumkan setiap tahun beliau akan menyertai HSN ini yang telah pun diadakan sejak 2015 yang lalu.
“Ini merupakan tahun kesepuluh HSN telah diadakan dan setiap tahun saya begitu teruja dengan aktiviti-aktiviti yang dijalankan sebagai pengisian HSN. HSN juga dapat meningkatkan pengetahuan sukan dalam kalangan rakyat Malaysia amnya dan warga Wilayah Persekutuan khasnya,” katanya.
Selain larian, antara aktiviti lain yang dijalankan seperti pertandingan taekwando, pertandingan silambam, Wall Climbing Challenge, Malaysian Historical Archery Championship dan Lightning Stacking Challenge.
Turut hadir Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud, Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Ismadi Sakirin dan Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Aidi Sham Mohamed.
-AA-





