
Laporan/ foto: Nadia Abdullah (Kluang)
SIMPANG RENGGAM, 16 Okt (MalaysiaAktif) – Jabatan Penjara Malaysia melalui Penjara Simpang Renggam meneruskan komitmen melaksanakan Program Outreach Korektif Penghuni Penjara Negeri Johor bagi memperkukuh usaha pemulihan dalam komuniti serta menghapuskan stigma terhadap bekas banduan.

Ahli keluarga prospek turut dijemput hadir untuk bersama-sama menyaksikan Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) dan sesi perjumpaan bersama ahli keluarga
Program yang diadakan di Dewan Muafakat, Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) di sini, hari ini disertai 66 prospek dan 79 ahli keluarga, dengan 53 peserta daripadanya bakal menjalani Pembebasan Secara Berlesen (PBSL) dan pulang ke pangkuan keluarga selepas tamat program.
Inisiatif ini turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk MDSR, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta Akademi Binaan Malaysia (ABM).
Menurut Pengarah Penjara Negeri Johor, Mohamad Ismail, melalui pendekatan berbentuk kekeluargaan dan komuniti, program ini menekankan mesej positif Peradaban Manusiawi Memperkukuh Masyarakat MADANI bagi memberi peluang kedua kepada individu yang ingin memperbaiki diri dan kembali menyumbang kepada masyarakat.

Prospek Penjara Simpang Renggam turut menghasilkan pelbagai kraftangan dan produk makanan yang boleh dibeli oleh orang awam dan sedia menerima tempahan
“Sejak PBSL diperkenalkan pada Oktober 2020, penjara di Johor telah merekodkan 5,059 peserta, menjadikan negeri ini antara penyumbang terbesar kepada program pemulihan berlesen di Malaysia. Setakat 14 Oktober 2025, sebanyak 1,506 peserta baharu turut direkodkan,” katanya.
Tambah beliau, melalui program seumpama ini, Jabatan Penjara Malaysia berhasrat menyemai semangat baharu dalam kalangan peserta agar mereka dapat menyesuaikan diri dan terus memberi nilai positif kepada keluarga serta masyarakat sebaik dibebaskan.
Program Outreach Korektif ini turut bertujuan mengukuhkan hubungan kekeluargaan, membantu proses penyesuaian diri prospek dengan komuniti, menjalin kerjasama strategik bersama agensi luar serta mengurangkan kadar residivis atau pengulangan jenayah.
Jabatan Penjara Malaysia menegaskan komitmen berterusan untuk memastikan setiap individu yang diberi peluang kedua dapat menjalani kehidupan produktif dan kembali menjadi anggota masyarakat yang bertanggungjawab.
-AA-





