Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

12,800 Kaunselor Malaysia Masih Belum Mencukupi – TKP JKM

By 16 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto: Marshita Othman (Kerian)

PARIT BUNTAR, 16 Okt (MalaysiaAktif) – Walaupun negara kini mempunyai kira-kira 12,800 kaunselor berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia, jumlah tersebut masih belum mencukupi bagi menampung keperluan perkhidmatan kaunseling seluruh negara yang mempunyai populasi melebihi 33 juta orang.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Rosmahwati Ishak berkata perkhidmatan kaunseling semakin penting dalam menghadapi pelbagai cabaran sosial dan emosi masyarakat masa kini, terutamanya dalam era digital.

Antara pengisian program membuat bakul salah satu terapi kepada pesakit mental

“Walaupun jumlah kaunselor kita dilihat besar, ia masih tidak memadai berbanding jumlah penduduk. Oleh itu, kita memerlukan lebih ramai tenaga profesional yang dapat membantu menjaga kesejahteraan emosi rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perak 2025, di sebuah pasar raya di sini, hari ini.

Rosmawati berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menetapkan Oktober sebagai Bulan Kaunseling Kebangsaan setiap tahun, selaras dengan sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia pada 10 Oktober.

Salah satu terapi yang digunakan dalam sesi terapi minda

Tema sambutan tahun ini, “Kaunseling Era Digital: Santuni Emosi, Sejahtera Insani”, disifatkannya amat relevan dengan realiti semasa apabila kemudahan digital turut membawa cabaran baharu seperti tekanan digital, ketagihan gajet, penyebaran berita palsu dan perasaan terasing dalam dunia maya.

“Saya berharap sambutan ini dapat membuka minda masyarakat untuk lebih prihatin terhadap kesihatan mental, sama seperti kita menjaga kesihatan fizikal.

“Ia juga sebagai penghargaan kepada profesion kaunselor yang sentiasa menyediakan bimbingan dan khidmat sokongan berkesan kepada komuniti,” katanya.

-AA

 

 

Tinggalkan komen anda