
Laporan/ foto: Zatul Iffah Wahab/ Mahrani Wahab (Kulim)
KULIM, 16 Okt (MalaysiaAktif) – Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) telah menyalurkan sumbangan kepada masyarakat India di Daerah Kulim bagi meraikan sambutan Deepavali, sekali gus menyemarakkan semangat perpaduan dan kebersamaan masyarakat pelbagai kaum.

Penerima menerima sumbangan dari Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Yayasan Sultanah Bahiyah
Program tersebut turut diserikan dengan keberangkatan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan YSB, Datin Paduka Dato’ Tunku Hajah Nafisah Almarhum Sultan Badlishah.
Program sumbangan ini diadakan bertujuan memberi keceriaan kepada masyarakat India dalam menyambut perayaan Deepavali pada tahun ini serta membantu meringankan beban perbelanjaan isi rumah yang memerlukan.
Seramai 100 penerima daripada pelbagai lapisan masyarakat telah menerima bantuan tersebut.
Seorang penerima, Arameello Arugandarr, 80, melahirkan rasa syukur atas keprihatinan YSB terhadap komuniti India di daerah berkenaan.

Antara penerima sumbangan dari Yayasan Sultanah Bahiyah
“Sumbangan ini dapat membantu menampung perbelanjaan saya untuk menyambut perayaan kali ini. Terima kasih kepada YSB atas keprihatinan yang ditunjukkan,” katanya.
Selain sumbangan kepada masyarakat, YSB turut menyerahkan dua buah Smart TV kepada Sekolah Kebangsaan Bandar Baharu dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chio Min A (Kulim), di bawah Projek Titian Bistari (PTB) Yayasan Sultanah Bahiyah.
Langkah ini merupakan sebahagian usaha memperkukuh pembelajaran digital di sekolah-sekolah PTB di daerah Kulim dan Bandar Baharu.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan YSB dalam memperkasakan kesejahteraan komuniti dan pembangunan pendidikan di Kedah.
Usaha sebegini bukan sahaja membawa keceriaan sempena perayaan, malah memperkukuh semangat muhibah serta memperlihatkan nilai kasih sayang dan keprihatinan antara rakyat pelbagai kaum.
-AA-





