Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Program Sembang Santai Komuniti MADANI Meriah di Dataran Naka

By 17 Oktober 2025November 4th, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto: Azrul Abdullah (Padang Terap)

NAKA, 16 Okt (MalaysiaAktif) – Suasana meriah dan penuh semangat kekeluargaan mewarnai Program Sembang Santai Komuniti MADANI yang dianjurkan oleh Komuniti MADANI Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Bendang Tok Teri dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Naka, Tabika Perpaduan Naka serta Pusat Komuniti Desa (PKD) Naka, di Dataran Naka, hari ini.

Ibu bapa bersiap sedia untuk memancing botol bagi acara mengail botol

Program ini berjaya menarik penyertaan ramai penduduk setempat yang hadir seawal pagi untuk memeriahkan pelbagai aktiviti menarik yang disusun khas untuk semua peringkat umur.

Antara aktiviti yang mencuri perhatian ialah Fun Walk, pelbagai acara sukaneka seperti bowling nyioq (kelapa), mengai (memancing) botol dan dam haji, selain permainan tradisional yang menggamit nostalgia lama.

Selain aktiviti riadah, program turut menampilkan slot Sembang Santai Belanjawan 2026 oleh Pegawai Penerangan Daerah Padang Terap, Mohd Fiteri Abdul Manap.

Permainan congkak yang kini menjadi fenomena baharu bagi permainan tradisional

Dalam sesi tersebut, beliau menerangkan beberapa inisiatif penting termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang dijangka akan disalurkan kepada penerima bermula Februari tahun hadapan.

“Ini merupakan kali kedua semua rakyat dewasa yang berumur 18 tahun ke atas akan menerima SARA daripada kerajaan,” katanya sambil menekankan bahawa penjelasan itu penting agar masyarakat lebih memahami manfaat dasar kerajaan yang berpaksikan prinsip MADANI berpandu faktor kesejahteraan rakyat, inklusiviti dan kemampanan ekonomi.

-AA-

Tinggalkan komen anda