Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Jelajah Aspirasi Pahang 1st: MB Pahang Turun Padang Santuni Rakyat

By 17 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Juhaisa Azrin/Shahrossaleh Radzali (Lipis)

LIPIS, 17 Okt (MalaysiaAktif) – Program Jelajah Aspirasi Pahang 1st yang diadakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka menyerlahkan keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang dalam menyantuni rakyat serta memahami permasalahan sebenar yang dihadapi di peringkat akar umbi.

Warga Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) bersemangat menanti kunjungan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail atau lebih mesra dengan panggilan Tok Wan.

Program turun padang itu diketuai oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, pegawai kerajaan serta wakil agensi berkaitan yang berlangsung serentak di 10 lokasi berbeza sekitar DUN Cheka, semalam.

Wan Rosdy berkata penganjuran program itu merupakan platform penting bagi kerajaan negeri menilai secara langsung keperluan rakyat serta merancang pembangunan yang lebih seimbang di seluruh negeri.

“Kita mahu pastikan setiap rakyat, terutama di kawasan luar bandar, mendapat perhatian sewajarnya dan tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negeri,” katanya.

Penduduk Kampung Tanjung Lipis, Mohd Azmi Ismail, 45, pula melahirkan rasa terharu atas kehadiran rombongan kerajaan negeri ke kawasan mereka.

“Kami berterima kasih dan rasa sangat bertuah kerana pemimpin negeri sendiri turun melihat keadaan sebenar di kampung. Ini menunjukkan kerajaan negeri benar-benar mengambil berat dan berusaha memberi peluang pembangunan kepada rakyat luar bandar,” katanya.

Setiap lokasi yang dipilih dalam siri jelajah itu mempunyai keistimewaan tersendiri dan menonjolkan potensi besar dalam sektor ekonomi, pertanian, sosial, pelancongan serta pembangunan komuniti luar bandar selaras matlamat Pahang Maju, Hijau dan Makmur.

-RI

Tinggalkan komen anda