
Laporan foto : Iswandy Kassim (Sarawak)
SRI AMAN, 23 Okt (MalaysiaAktif) – Setelah tiga tahun kekosongan jawatan Temenggong Iban Bahagian Sri Aman, kerajaan negeri melalui Pejabat Residen Bahagian Sri Aman baru-baru ini mengumumkan pelantikan rasmi Leonard Libau Anol, 63, sebagai Temenggong Iban Bahagian Sri Aman bagi tempoh 1 Julai 2025 hingga 31 Disember 2029.
Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh ketika ditemui kelmarin berkata pelantikan itu amat penting bagi memperkukuh struktur kepimpinan adat dan komuniti Iban di Bahagian Sri Aman.
“Pelantikan Leonard Libau Anol menamatkan kekosongan jawatan Temenggong Iban yang telah berlarutan selama tiga tahun dan faktor latar belakang pendidikan dan pengalaman luas dalam perkhidmatan awam serta kepimpinan masyarakat, menjadikan beliau calon yang tepat untuk menerajui peranan ini,” katanya lagi.

Mahra Salleh (kiri) menyerahkan watikah pelantikan Temenggong Iban Sri Aman kepada Leonard Libau Anol, disaksikan Datuk Francis Harden Hollis (tengah).
Beliau turut menambah pelantikan tersebut diharap dapat memperkukuhkan hubungan antara kepimpinan masyarakat tradisional dengan agensi kerajaan yang secara langsung membantu mempercepat pelaksanaan dasar-dasar pembangunan negeri di peringkat akar umbi.
“Kita mahu kepimpinan masyarakat yang bukan sahaja memahami adat tetapi juga peka terhadap agenda pembangunan rakyat dan mampu menjadi jambatan antara komuniti dengan kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Leonard yang ditemui semalam memaklumkan sebelum ini beliau dilantik sebagai Penghulu bagi Bidang Kuasa Bandar Simanggang sejak 2022, menyatakan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan oleh Kerajaan Sarawak.
“Saya amat berterima kasih atas kepercayaan ini kerana elantikan ini bukan satu penghormatan peribadi tetapi sebaliknya satu amanah besar untuk terus memperkukuh perpaduan, kebajikan dan kemajuan masyarakat Iban di seluruh Bahagian Sri Aman,” katanya.
Beliau turut berkata tumpuan utamanya selepas pelantikan ini adalah untuk memperkukuh institusi adat, memperluas kerjasama antara ketua masyarakat dan menyokong inisiatif pembangunan kerajaan negeri di bawah dasar Post COVID-19 Development Strategy (PCDS) 2030.

Leonard, Temenggong Iban Bahagian Sri Aman yang baharu berkuatkuasa Julai 2025 sehingga Disember 2029, berazam memperkukuh perpaduan dan kemajuan masyarakat Iban di daerah itu.
Leonard yang berasal dari Melugu Skim, Sri Aman, merupakan bekas Guru Besar dan pegawai pendidikan dengan pengalaman perkhidmatan lebih 36 tahun di Kementerian Pendidikan Malaysia sebelum bersara pada 2022.
Beliau juga kini merupakan Pengerusi Lembaga Pelawat Hospital Sri Aman untuk tempoh 2024 hingga 2026 dan aktif dalam pelbagai jawatankuasa pembangunan komuniti setempat.
Pelantikan beliau dijangka membawa kesinambungan kepimpinan yang berpengalaman dan progresif bagi masyarakat Iban di Bahagian Sri Aman.
-RJ-





