
Laporan/ foto : Aishah Latip/ JAPEN LUNDU (Sarawak)
LUNDU, 23 Okt (MalaysiaAktif) – Program Hari Sukan Bersama Komuniti MADANI 2025 yang disertai ahli Komuniti MADANI dari sekitar Lundu telah berlangsung dengan meriah di perkarangan Pejabat Penerangan Daerah Lundu, di sini semalam.
Program anjuran Komuniti MADANI dengan kerjasama Pejabat Penerangan Daerah Lundu itu bertujuan memperkukuhkan semangat kesukanan, memupuk gaya hidup sihat dan meningkatkan interaksi sosial dalam kalangan komuniti setempat.
Acara dimulakan dengan senamrobik dan tarian poco-poco yang menceriakan suasana pada awal pagi sebelum diteruskan dengan aktiviti berjalan laju (brisk walk) di sekitar Pekan Lundu.

Sesi senamrobik untuk merenggangkan badan di perkarangan Pejabat Penerangan Daerah Lundu.
Pegawai Penerangan Daerah Lundu Aishah Latip berkata program tersebut bukan sahaja membina tubuh yang sihat, malah turut menyemai semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat.
“Program sebegini merupakan antara aktiviti sihat yang sering dilakukan dalam mana-mana komuniti dan wajar diteruskan sebagai acara tahunan bagi memperkukuhkan hubungan antara komuniti,” katanya.
Peserta yang terlibat turut bersetuju dengan pengajuran program yang bukan sahaja bertujuan untuk memupuk gaya hidup sihat tetapi juga membuka ruang sosial yang lebih luas untuk mengenali satu sama lain dalam sesebujah komuniti.
“Program seperti ini memang menyeronokkan kerana selain dapat bersenam, kami juga dapat berkenalan dengan lebih ramai ahli komuniti dari kampung lain dan semoga tahun depan dibuat lagi,” kata Ketua Komuniti Kampung Sebandi Hulu Entabang Endawan ketika ditemui selepas program selesai.

Aishah Latip (bertudung biru muda) mengetuai briskwalk di sekitar Pekan Lundu.
Menurut Ketua Komuniti MADANI Kampung Seketi Cina Lim Ted Hong, 58, beliau yakin komuniti yang sentiasa menganjurkan program berunsurkan kesihatan akan memastikan ahli-ahlinya sentiasa sihat dan bersatu padu.
“Walaupun diadakan di sini, jauh dari bandar utama dan dilihat sebagai program komuniti yang kecil tetapi matlamat atau kesan tersirat itu sebenarnya besar,” katanya.
-RJ-





