
Laporan/ foto: Latifah Salleh (Tangkak)
TANGKAK, 26 Okt (MalaysiaAktif) – Nilai tradisi dan warisan budaya kehidupan di sawah terus disemarakkan melalui penganjuran Program Santai Warisan D’Bendang anjuran Wanita UMNO Bahagian Ledang yang berlangsung di Kampung Kesang Tasek, di sini semalam.

Datuk Abd Rahim berkata program Santai Warisan D’Bendang yang disifatkannya sebagai satu platform memperkukuh semangat kebersamaan dan melestarikan nilai warisan tradisi masyarakat Melayu
Ketua UMNO Bahagian Ledang Datuk Abd Rahim Talib berkata penganjuran program berkenaan mampu menghidupkan kembali nostalgia kehidupan masyarakat di sawah padi.
“Program seumpama ini bukan sahaja mengimbau kenangan kehidupan masyarakat bendang suatu ketika dahulu, malah mampu memperkenalkan semula adat dan budaya tradisional kepada generasi muda masa kini.
“Pertandingan bina orang-orang sawah dan pertandingan Ratu D’Bendang juga mendapat sambutan yang amat menggalakkan, manakala demonstrasi mengemping pula memberi pendedahan serta ilmu baharu kepada golongan muda tentang cara tradisional masyarakat dahulu kala,” katanya.

Pertandingan bina orang-orang sawah, pertandingan Ratu D’Bendang serta demonstrasi mengemping bukan sekadar aktiviti santai, tetapi menjadi wadah memupuk rasa cinta terhadap warisan bangsa
Program yang menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga emas, belia, wanita dan kanak-kanak itu turut menjadi platform mengeratkan silaturahim serta memupuk semangat kekitaan dalam kalangan penduduk setempat.
Turut hadir, Ketua Kampung Kesang Tasek Abu Bakar Yusof dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Ledang Basilah Halim.
-AA-





