Skip to main content
Berita TempatanSabah

Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2025: Jamin Kebajikan Pekerja dan Kemampuan Majikan

By 26 Oktober 2025Februari 9th, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud (Penampang)

PENAMPANG, 26 Okt (MalaysiaAktif) – Dunia pekerjaan di Sabah kini semakin inklusif dengan penguatkuasaan Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2025 di samping pelaksanaan Perintah Gaji Minimum.

Kedua-dua dasar ini dilihat mampu untuk memperkukuh perlindungan kepada pekerja yang sebelum ini tertindas dalam masa yang sama memperuntukkan majikan dengan pelbagai alternatif mengikut kemampuan syarikat.

Ketua Penolong Pengarah, Tenaga Kerja Kanan (JTK) Sabah, Asriyah Abdul Hafid, berkata, pindaan ordinan berkuat kuasa 1 Mei 2025 itu adalah penambahbaikan penting selepas lebih dua dekad tidak dipinda dan selaras dengan keperluan pasaran kerja semasa.

“Sebelum ini, perlindungan hanya untuk pekerja bergaji RM2,500 ke bawah. Pindaan baharu meluaskan perlindungan kepada semua pekerja tanpa had gaji, termasuk kerja lebih masa, bayaran cuti umum dan hari rehat berbayar bagi mereka yang bergaji sehingga RM4,000.

Asriyah dalam sesi temubual Influencer@JAPEN Sabah dikendalikan oleh Penolong Pengarah, Bahagian Media Siber, Jabatan Penerangan Sabah, Nuzuluddin Abdul Razak.

“Ordinan ini bukan untuk menghukum majikan, tetapi melindungi kedua-dua pihak supaya hubungan pekerjaan lebih adil dan harmoni,” katanya ketika ditemui pada program Influencer@JAPEN di sini pada Jumaat.

Sementara itu, JTK Sabah jelasnya akan terus memberi komitmen dalam memastikan suasana pekerjaan di negeri ini lebih kondusif dan menjamin menerusi pelbagai langkah advokasi, kempen termasuk penguatkuasaan undang-undang.

“Untuk memenuhi tahap kemampuan majikan dalam isu gaji minimum, majikam diberi pilihan penggajian antaranya boleh bayar gaji bulanan, harian atau jam, asalkan tidak kurang daripada RM8.17 sejam. Langkah ini membantu pekerja dan memberi masa majikan menyesuaikan diri.

“Biasanya kami beri penerangan, seminar atau dialog terlebih dahulu. Tindakan undang-undang hanya diambil jika masih ingkar selepas notis pembetulan,” ujarnya.

“Dalam dua tahun kebelakangan ini, JTK Sabah berjaya memulangkan hampir RM30 juta tunggakan gaji hasil siasatan dan tindakan susulan, menunjukkan keberkesanan penguatkuasaan jabatan itu,” jelasnya.

Tegas Asriyah, ordinan dan perintah baharu ini bukan untuk membebankan majikan, tetapi lebih krpada usaha kerajaan memperkukuh sistem pekerjaan yang lebih adil kepada rakyat.

“Pekerja disarankan menyalurkan aduan melalui portal ENORES, e-mel [email protected] atau telefon 088-238755. Aduan boleh dibuat secara rahsia dan lengkap dengan butiran majikan untuk siasatan.

“Marilah kita bersama-sama mewujudkan suasana pekerjaan yang harmoni di Sabah. Pekerja sejahtera, majikan berjaya, ekonomi negeri berkembang,” katanya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda