Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Kursus Pengurusan Jenazah Perkukuh Amalan Fardhu Kifayah

By 27 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Latifah Salleh (Tangkak)

TANGKAK, 27 Okt (MalaysiaAktif) – Kursus Pengurusan Jenazah Wanita anjuran Komuniti MADANI Sagil dengan kerjasama Pejabat Agama Daerah Tangkak mendapat sambutan menggalakkan daripada 30 peserta wanita di kawasan Kampung Melayu Raya Sagil.

Sesi praktikal sempena Kursus Pengurusan Jenazah Program Jiwa@Komuniti MADANI Sagil

Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh berkata, penganjuran program sebegini amat wajar diteruskan di setiap komuniti bagi memperkukuh pengetahuan masyarakat dalam melaksanakan tanggungjawab fardhu kifayah.

“Kursus pengurusan jenazah amat penting dan perlu diketahui oleh semua anggota masyarakat. Ini merupakan tuntutan fardhu kifayah yang harus dipelajari serta diamalkan oleh umat Islam,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut di Balai Masjid Kampung Melayu Raya Sagil, semalam.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Pejabat Penerangan Daerah Tangkak dan Komuniti MADANI Sagil atas usaha berterusan menganjurkan pelbagai program bermanfaat kepada masyarakat.

“Pejabat Penerangan Tangkak menerusi Komuniti MADANI berjaya menyusun pelbagai program berguna kepada masyarakat. Usaha ini perlu digerakkan dengan lebih aktif dalam membantu memasarkan maklumat serta dasar kerajaan kepada rakyat,” tambah beliau.

Syed Ibrahim berkata kursus pengurusan jenazah penting sebagai tuntutan fardhu kifayah yang perlu dipelajari dan diamalkan oleh setiap umat Islam

Kursus berkenaan dikendalikan oleh Ustazah Nur Quzaimah Misman yang memberi penerangan menyeluruh merangkumi aspek teori dan praktikal berkaitan pengurusan jenazah dalam sesi yang berlangsung selama satu jam setengah.

Sementara itu, Ketua Komuniti MADANI Sagil Noraishah Omar, berkata penganjuran kursus ini merupakan antara inisiatif yang telah lama dirancang dan akhirnya berjaya direalisasikan menerusi kerjasama erat bersama Pejabat Penerangan Daerah Tangkak.

“Alhamdulillah, program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya melalui kerjasama semua pihak. Terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan dan bantuan dalam menjayakan usaha ini,” katanya.

Turut hadir, Pegawai Penerangan Daerah Tangkak Kartina Saruni dan Ketua Kampung Sagil Parit 1 Norlaila Ahmad.

-AA-

Tinggalkan komen anda