Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Inisiatif Tiga Serangkai Suntik Semangat Calon SPM, Pelajar Tingkatan Enam Johor

By 29 Oktober 2025November 1st, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Facebook Aznan Tamin (Johor)

KOTA TINGGI, 29 Okt (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Johor terus memperkukuh komitmennya dalam memastikan kesejahteraan serta kejayaan pelajar melalui pelaksanaan Inisiatif Tiga Serangkai Bantuan Pendidikan Johor, yang melibatkan tiga komponen utama – Kit SPM Maju Johor, Bantuan Makan Tengahari Percuma SPM 2025 dan Insentif Tingkatan Enam.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pendidikan negeri Aznan Tamin berkata inisiatif berkenaan merupakan manifestasi keprihatinan kerajaan negeri dalam menyuntik semangat serta sokongan penuh kepada anak-anak Johor yang bakal menduduki peperiksaan penting.

296 calon SPM dan 58 pelajar Tingkatan Enam DUN Tanjung Surat terima manfaat Inisiatif Tiga Serangkai Bantuan Pendidikan Johor.

“Sebanyak RM853,000 diperuntukkan bagi pelaksanaan Kit SPM Maju Johor, manakala RM4.2 juta disalurkan untuk program Bantuan Makan Tengahari Percuma SPM 2025, yang bakal memanfaatkan 42,466 calon SPM di seluruh Johor sepanjang 10 hari peperiksaan berlangsung.

“Usaha ini bukan sekadar bantuan semata-mata, tetapi lambang kasih dan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kesejahteraan pelajar serta masa depan pendidikan Johor,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Majlis penyerahan inisiatif berkenaan berlangsung serentak di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Johor semalam, dengan pelancaran peringkat negeri diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Adela, Kota Tinggi.

Di peringkat DUN Tanjung Surat sahaja, seramai 296 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dan 58 pelajar Tingkatan Enam menerima manfaat dengan jumlah keseluruhan RM43,940, yang disampaikan pada majlis di SMK Adela, semalam.

Seramai 42,466 calon SPM di seluruh Johor akan mendapat manfaat pelaksanaan Inisiatif Tiga Serangkai Bantuan Pendidikan Johor sepanjang 10 hari peperiksaan berlangsung.

Menurut Aznan, bagi pelajar Tingkatan Enam pula, kerajaan negeri memperuntukkan RM2 juta melalui Insentif Tingkatan Enam yang memberi manfaat kepada 8,317 pelajar di seluruh negeri.

“Setiap pelajar menerima RM200 bagi membantu meringankan beban kewangan serta memberi dorongan untuk terus cemerlang dalam pengajian,” katanya.

Aznan turut menegaskan bahawa inisiatif ini membuktikan keprihatinan kerajaan negeri dalam memastikan tiada pelajar tercicir daripada menerima bantuan pendidikan.

“Kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Johor (Datuk Onn Hafiz Ghazi), akan terus menumpukan perhatian terhadap agenda pendidikan sebagai teras pembangunan modal insan negeri bagi melahirkan generasi Johor yang berilmu, berdaya saing dan berakhlak mulia,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda