
Laporan/foto: Hamidah Hamid (Kuala Pilah)
KUALA PILAH, 29 Okt (MalaysiaAktif) – Program Sejahtera MADANI: Memangkas Kemiskinan yang diadakan di Pusat NADI Seri Menanti berjaya memudahkan urusan penduduk setempat apabila pelbagai agensi kerajaan hadir menawarkan perkhidmatan secara berpusat di bawah satu bumbung.

Orang ramai memanfaatkan Jualan Rahmah Madani bagi mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah.
Program anjuran Pejabat Pembangunan Negeri, Negeri Sembilan (PPNNS) itu menghimpunkan agensi seperti Pangkalan Data Kemiskinan Nasional (eKasih), Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Selain perkhidmatan utama, turut disediakan kemudahan tambahan seperti saringan kesihatan, MyDigital ID, Jualan Rahmah MADANI dan kaunter bergerak kutipan cukai tanah.
Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan termasuk pertandingan kuih tradisional dan pertandingan gubahan bunga.

Kaunter bergerak JPN memudahkan urusan dokumen rasmi seperti pendaftaran kelahiran dan kematian.
Seorang pengunjung, Noraini Ahmad, 42, berkata penganjuran program tersebut banyak membantu penduduk luar bandar menyelesaikan urusan rasmi tanpa perlu ke bandar.
“Biasanya kami perlu ke bandar untuk urusan rasmi, tapi hari ini semuanya ada di sini. Ia sangat membantu,” katanya.
Program ini merupakan antara inisiatif kerajaan di bawah agenda Malaysia MADANI bagi memastikan kesejahteraan rakyat, khususnya masyarakat luar bandar, terus terpelihara.
-RI





