Skip to main content
Berita TempatanSarawak

LANDAS Raja Sungai Regatta Sarawak 2025

By 3 November 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Norlia Mili (Sarawak)

KUCHING, 3 NOV (MalaysiaAktif) – Pasukan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (LANDAS) dengan perahu mereka Landas Azam Kasihnya Warisan 3 melakar kejayaan gemilang apabila dinobatkan sebagai Raja Sungai Regatta Sarawak 2025 sekali gus menjulang Piala Tuan Yang Terutama di-Pertua Negeri Sarawak.

Pengurus pasukan LANDAS Datuk Awang Zamhari Awang Mahmood bersyukur dengan kemenangan yang diperolehi Pasukan LANDAS pada Sarawak Regatta 2025 edisi ke-11.

Pengurus pasukan LANDAS, Datuk Awang Zamhari Awang Mahmood berkata, kejayaan itu adalah pencapaian paling manis buat pasukan selepas turut muncul juara bagi kategori lain termasuk Bidar 30 Pekayuh Lelaki Piala Antarabangsa Borneo (Terbuka).

“Syukur kepada Allah atas rezeki ini di mana tahun ini merupakan antara tahun terbaik bagi LANDAS kerana hampir semua kejuaraan utama berjaya kami menangi,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah Regatta Sarawak 2025.

Hari terakhir Sarawak Regatta 2025 yang merupakan acara sukan air paling berprestij di Sarawak itu berlangsung meriah semalam apabila puluhan ribu pengunjung memenuhi Tebingan Sungai Kuching, di sini bagi menyaksikan pasukan-pasukan hebat berentap merebut gelaran Raja Sungai pada edisi kali ini.

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut mencemar duli berangkat menyaksikan kemeriahan dan acara kemuncak perlumbaan itu.

Regatta Sarawak setiap tahun merupakan antara acara penting dalam kalendar pelancongan Sarawak dan sentiasa mendapat sambutan hangat rakyat di sini.

Awang Zamhari berkata kejayaan itu bukan datang secara kebetulan, sebaliknya hasil perancangan rapi, komitmen tinggi pengurusan dan disiplin pekayuh yang sentiasa bersemangat dan bersungguh-sungguh ketika setiap sesi latihan.

Menurutnya persediaan menghadapi Regatta Sarawak 2025 melibatkan analisis menyeluruh terhadap prestasi pasukan pada tahun sebelumnya bagi mengenal pasti kelemahan dan menambah baik aspek latihan, logistik dan penambahbaikan reka bentuk perahu.

Tambahnya, pemahaman mendalam terhadap selok belok sungai turut menjadi faktor utama kejayaan kerana setiap alur dan arus mempunyai ‘rahsia’ tersendiri yang perlu difahami untuk menyusun strategi perlumbaan dengan tepat.

“Bagi kami, kejayaan datang daripada gabungan lengkap iaitu latihan, semangat, disiplin, strategi dan pengetahuan tentang sungai dan tahun depan, kami berhasrat mengekalkan kejuaraan ini dan terus memperbaiki kelemahan kerana kami belum sempurna,” katanya lagi.

Nus Mail tidak ketinggalan bersama-sama pengunjung yang lain menyaksikan kehangatan lumba perahu Sarawak Regatta 2025.

Sementara itu, Nus Mail, 67, pengunjung setia Regatta Sarawak berkata beliau tidak pernah ketinggalan menyaksikan perlumbaan perahu itu sejak edisi pertama kerana minat mendalam terhadap sukan air tradisional tersebut, malah sanggup berkunjung ke acara lain seperti Regatta Sebuyau dan regatta Simunjan.

“Saya bersama keluarga sentiasa menunggu acara ini setiap tahun dan harapan saya agar perlumbaan seperti ini akan terus dipertahankan dan diadakan pada masa akan datang,” katanya yang pernah menyertai sukan itu suatu ketika dahulu.

Penganjuran Sarawak Regatta 2025 kekal sebagai wadah terbaik untuk memupuk semangat muhibbah di kalangan rakyat berbilang kaum di Bumi Kenyalang sambil menerapkan kecintaan terhadap warisan budaya agar terus segar kepada generasi-generasi kehadapan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda