
Laporan/foto: Maznah Ngah/Facebook Universiti Sultan Zainal Abidin – FB Rasmi
KUALA TERENGGANU, 4 Nov (MalaysiaAktif) – Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah merangkap Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berkenan berangkat ke Majlis Hi-Tea Diraja sempena Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA Ke-17 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), kelmarin.
Majlis diadakan bagi menghargai sumbangan warga universiti, rakan strategik serta meraikan penerima anugerah tertinggi konvokesyen tahun ini.

Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah menerima sumbangan daripada MAIDAM.
Pada majlis berkenaan, Baginda berkenan mengurniakan Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) kepada dua graduan cemerlang, iaitu Che Wan Nur Damia Che Wan Roslan dari Fakulti Perniagaan dan Pengurusan serta Koh Wen Xuan dari Fakulti Biosumber dan Industri Makanan.
Baginda turut berkenan melancarkan buku meja kopi bertajuk “Bukit Besi: Menjejaki Heritopolis Besi Asia”, hasil karya lima penyelidik dari Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE) yang mengupas sejarah perlombongan bijih besi di Bukit Besi, Dungun.
Turut berangkat Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan dan Tengku Puteri Daulath Raja datuk Seri Fatimatuz Zahra.
Sementara itu, Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr. Fadzli Adam berkata majlis tersebut turut menjadi simbol penghargaan terhadap kejayaan 4,219 graduan yang menamatkan pengajian pada tahun ini.

Dr. Fadzli, menzahirkan rasa bangga atas kejayaan 4,219 graduan yang menamatkan pengajian serta pencapaian membanggakan universiti.
Beliau berkata UniSZA juga mencatat pencapaian membanggakan apabila tersenarai dalam kelompok 1,001–1,200 universiti terbaik dunia dan ke-10 dalam kalangan universiti awam Malaysia bagi penarafan Times Higher Education (THE) 2026.
“Setiap graduan adalah duta ilmu UniSZA. Teruskan menjadi kebanggaan universiti dan bangsa,” katanya.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan terbesar daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) yang disampaikan oleh Yang Dipertua, Dato’ Shaikh Harun Shaikh Ismail kepada UniSZA, sebagai sokongan terhadap pembangunan pendidikan Islam dan kebajikan pelajar.
-RI





