
Laporan/foto: Noorsiah Mahmud, KUSKOP (Penampang)
PENAMPANG, 5 Nov (MalaysiaAktif) – Setakat ini, sejumlah RM18.9 juta bantuan kewangan di bawah Program Peningkatan Enterprise Bumiputera (BEEP) 2.0 dan BEEP Plus telah diluluskan kepada 182 Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Sabah.
Bantuan berbentuk geran itu disalurkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui SME Corp Malaysia sebagai usaha berterusan kerajaan memperkasa keusahawanan tempatan serta memacu pertumbuhan ekonomi negeri.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata pencapaian BEEP dan BEEP Plus bukan sahaja menyokong pertumbuhan perniagaan mikro di kawasan bandar dan luar bandar, malah memperkukuh ekonomi komuniti setempat melalui penciptaan peluang pekerjaan serta peningkatan kapasiti perniagaan.

Ewon Benedict berucap pada Majlis Sesi Ramah Mesra bersama Alumni Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) sempena Hari Terbuka Hab PMKS Sabah, semalam.
“Lebih penting, program ini menjadi pemangkin dalam usaha mengurangkan jurang pembangunan antara Malaysia Barat dan Malaysia Timur, dengan memberi tumpuan khusus kepada pembangunan usahawan Bumiputera di Sabah dan Sarawak,” katanya ketika merasmikan Hari Terbuka Hab PMKS Sabah, di sini pada kelmarin.
Pada majlis sama, Ewon turut menyampaikan cek cura bernilai RM1.3 juta kepada 18 penerima di bawah program BEEP 2.0, BEEP Plus dan Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE).
Program BEEP bertujuan meningkatkan daya saing PMKS Bumiputera melalui bantuan bersepadu merangkumi khidmat nasihat, sokongan teknikal, latihan serta bantuan kewangan sehingga RM500,000.
Sementara BEEP Plus yang dibiayai di bawah dana Mikro MADANI, menawarkan geran padanan sehingga RM250,000, khusus bagi perusahaan mikro Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Bernard Giluk Dompok menekankan kepentingan hubungan erat antara agensi dan usahawan dalam ucapannya pada Hari Terbuka Hab PMKS Sabah di sini semalam.
Sementara itu, Pengerusi SME Corp Malaysia Tan Sri Bernard Giluk Dompok percaya pendekatan turun padang seperti Hari Terbuka Hab PMKS bukan sahaja memperkukuh hubungan antara agensi dan usahawan, tetapi turut memberi nilai tambah yang nyata kepada PMKS.
“Melalui interaksi secara langsung, usahawan berpeluang mendapatkan maklumat tepat, bimbingan berkesan dan membina jaringan strategik bagi memperluas pasaran,” katanya.
-RJ-





