
Laporan/foto: Nuzuluddin Abdul Razak/KUSKOP (Kota Belud)
KOTA BELUD, 5 Nov (MalaysiaAktif) – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus konsisten dalam memperluas akses pembiayaan, memperkukuh ekosistem keusahawanan dan meningkatkan daya saing usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata selain pembangunan fizikal, kementerian turut komited memastikan pembangunan ekonomi dapat dinikmati secara inklusif, seimbang dan menyeluruh menerusi pelbagai kemudahan pembiayaan dan sokongan.
“Antaranya Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT), Skim Pembiayaan Industri Kraf (TEKUN Nasional), Geran Usahawan Bumiputera Sabah & Sarawak (BEEP Plus – SME Corp.), Geran Pembangunan Koperasi (SKM) dan Tabung Modal Pusingan SKM (TMPSKM),” katanya.

Ewon menyampaikan sijil pendaftaran kepada wakil koperasi baharu.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan perasmian bangunan premis Tamu Desa Kampung Tinata, Kadamaian di sini, hari ini.
Ewon menegaskan tamu desa tersebut antara langkah kerajaan MADANI memperkukuh agenda pemerkasaan dan memperluas peluang ekonomi rakyat luar bandar melalui pendekatan bersepadu antara kementerian, agensi dan kerajaan negeri.
“Premis Tamu Desa ini bukan sekadar menyediakan kemudahan perniagaan yang lebih teratur dan kondusif, tetapi juga menjadi platform pemberdayaan komuniti luar bandar dengan membuka ruang kepada usahawan mikro, petani dan peniaga kecil untuk memasarkan produk mereka secara lebih sistematik dan mampan.

Ewon menyaksikan simbolik penyerahan Tamu Desa daripada Ketua Setiausaha KUSKOP Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud kepada Hardlee Panchai, Pengerusi JKKK Kg. Tinata, Kota Belud.
“Selain itu ia juga boleh digunakan untuk pelbagai aktiviti lain seperti mesyuarat mingguan Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Yayasan Usaha Maju serta aktiviti kemasyarakatan yang lain,” ujarnya.
Untuk makluman, projek Tamu Desa Kampung Tinata tersebut dilaksanakan melalui peruntukan daripada KUSKOP bernilai RM200,000.
Bersempena dengan Program Membudayakan Masyarakat Berkoperasi anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), majlis perasmian berkenaan juga disempurnakan dengan penyampaian sijil pendaftaran kepada enam buah koperasi baharu dari daerah Kota Belud.
-RJ-





