Skip to main content
Berita TempatanSabah

Rasa Asli Beras Kampung Kekal Pilihan Pelanggan

By 7 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Sitti Jakiyah Abd. Rahim (Penampang)

PENAMPANG, 7 Nov (MalaysiaAktif) – Walaupun pelbagai jenis beras moden mudah didapati di pasaran, beras kampung tetap menjadi pilihan ramai pelanggan di Tamu Donggongon kerana keenakan dan keunikan rasanya yang tersendiri.

Peniaga beras kampung, Nurmianti Sirimaka, 48, berkata minat masyarakat terhadap beras kampung masih tinggi walaupun bekalannya akan berkurangan pada musim tertentu.

Pelbagai jenis beras kampung yang dijual di gerai Nurmianti pada setiap hari tamu di Donggongon, Penampang.

Tambahnya, beras kampung yang pelbagai jenis membuatkannya lebih istimewa berbanding beras biasa yang dijual di pasar raya tempatan.

“Biasanya lebih 20 jenis beras kampung dijual, antaranya beras bukit wangi, beras ungu, beras pandan, beras keladi bukit, beras hitam dan banyak lagi tapi sekarang tidak banyak sebab belum musim menuai. Dalam bulan Januari nanti baru banyak bekalan beras.

“Bekalan beras diperoleh dari Keningau dan Tambunan sebelum dibungkus semula bagi memudahkan pelanggan. Tujuan dibungkus begini supaya senang orang beli. Ada yang beli satu kilogram (kg), ada juga setengah kg, bergantung kepada permintaan,” katanya ketika ditemui di Tamu Penampang, di sini pada Khamis.

Menurut Nurmianti walaupun harga beras kampung meningkat sehingga mencecah RM16 sekilogram, sambutan pelanggan masih menggalakkan.

“Syukur Alhamdulillah, sambutan memang banyak. Orang tempatan suka beras kampung sebab rasanya lain dan kurang kanji. Antara jenis beras yang paling diminati ialah beras keladi bukit, pandan wangi dan beras Bario.

“Kalau dicampur keladi bukit dengan pandan, dia wangi dan lembut. Beras Bario pula sedap buat bubur sebab cepat lembut dan wangi,” ujarnya.

Nurmiati ketika ditemui di gerai berasnya di Tamu Donggongon, Penampang.

Nurmianti yang mula berniaga semula selepas pandemik COVID-19, berkata beliau kini menjual beras berkenaan di Tamu Penampang setiap Rabu hingga Jumaat, serta di Putatan pada hari Sabtu dan Ahad.

Sementara itu, pelanggan tetap, Emelda Abdullah, 57, berkata beliau lebih gemar membeli beras kampung kerana rasanya yang istimewa selain aroma yang wangi ketika di masak.

“Rasa dia lain, lebih sedap dan buat kita berselera makan. Kalau ada kenduri, saya memang guna beras ini campur dengan beras lain sebab dia wangi dan ada kelainan.

“Keluarga kami pun memang suka beras kampung kerana ia berbeza dengan beras biasa, rasa dia lain dan lebih sedap,” ujarnya.

-RI

Tinggalkan komen anda