Skip to main content
Berita TempatanSabah

Empat Generasi, Satu Warisan: Tau Fu Fah Yong Kekal Segar di Tamu Donggongon

By 7 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Sitti Jakiyah Abd. Rahim (Penampang)

PENAMPANG, 7 Nov (MalaysiaAktif) – Bermula daripada hasil tangan moyang hingga ke generasi keempat, keluarga Yong di Tamu Donggongon, di sini terus mengekalkan resipi tradisi tau fu faa yang diwarisi mereka sejak turun-temurun.

Penjual tau fu faa, Yong Chiew Mui, 34, berkata proses untuk menghasilkan warisan kulinari masyarakat Cina itu tidak semudah yang disangka dan perlu dikendalikan dengan teliti agar memenuhi cita rasanya yang asli.

Tau fu faa yang dihasilkan keluarga Yong Chiew Mui dijual dengan harga RM3 dan RM5 sahaja.

“Proses membuat tau fu faa memerlukan kesabaran dan ketelitian. Bukannya susah, tapi prosesnya banyak bermula dengan merendam kacang soya semalaman supaya kembang, selepas itu kacang soya tersebut akan dicuci sebelum giling sehingga halus.

“Yang sudah digiling akan ditapis menggunakan mesin khas supaya hampas dan air soya terpisah. Susu kacang itu kami masak guna kuali besar, masih pakai kayu api sampai betul-betul mendidih. Kalau tidak cukup panas, nanti bau kacang dia kuat,” katanya ketika ditemui di gerainya di Tamu Dongongon, di sini pada Khamis.

Mengakui berlaku peningkatan harga bahan mentah, beliau tidak mahu perkara itu menjadi penghalang sebaliknya menyusun strategi agar pencuci mulut tersebut dapat terus dirasai penggemarnya sepanjang masa.

“Sekarang satu karung kacang soya 40 kilo (kilogram) pun hampir RM200. Namun begitu, saya tetap jaga kualiti tau fu faa dan saya ada ramai pelanggan tetap yang datang.

“Setiap minggu mesti nampak muka yang sama dan kerana itulah saya akan teruskan selagi mampu dan selagi ada pelanggan. Ramai juga yang minta saya jangan berhenti,” ujarnya.

Ester memuji keenakan tau fu faa gerai Yong Chiew Mui yang mengekalkan keaslian resepi keluarganya.

Sementara itu, salah sorang pelanggan tetap, Ester Kong, 63, mengakui keunikan rasa jualan Yong sesuai dengan selera warga emas sepertinya selain harganya masih berpatutan.

“Memang berkhasiat sebab dibuat daripada kacang soya. Rasanya pun tidak terlalu manis dan sangat segar. Saya biasanya beli apabila datang ke sini. Lain orang (yang) buat lain rasanya, tapi yang ini memang segar dan masih rasa asli kacang soya.

“Ia juga kurang manis dan harganya pun masih berpatutan. Malangnya, hari ini tidak ramai anak-anak muda yang pandai membuatnya. Saya harap generasi muda boleh teruskan resipi ini,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda